Monday, February 22, 2010

Sambut hari lahir: Ganti lagu dengan doa

SOALAN:

APAKAH hukum sambutan hari lahir dengan menyediakan kek serta lilin dan diiringi lagu happy birthday to you. Ada yang mengatakan kek yang diletakkan lilin itu sebagai simbolik orang kafir memecahbelahkan Islam ketika zaman dahulu.

Bagaimana pula sambutan yang dibenarkan oleh Islam?

JAWAPAN:

Kita sering diingatkan supaya tidak menyerupai sesuatu kaum, seperti mana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia dikira dari kaum tersebut". (riwayat Abu Daud, no: 4031, Ibn Hibban, no: 437, Al-Haithamiy, Majma' al-Zawaid, jld: 10, hlm: 274).

Maksudnya kita ditegah supaya tidak menyerupai mana-mana kaum yang jelas ingkar kepada Allah SWT.

Kalau dilihat sepintas acara sambutan hari jadi tidaklah menggambarkan apa-apa. Namun banyak yang diceritakan bahawa memotong kek dengan meniup lilin adalah sambutan golongan bangsa yahudi atas kemenangan mereka ke atas umat Islam.

Apa yang dikhabarkan ialah kek itu umpama dunia Islam dan lilin itu cahaya Islam. Lalu ditiup lilin menandakan mematikan cahaya Islam dan memotong kek maksudnya membahagi-bahagikan taklukan yahudi atas negara-negara Islam.

Saya kira semacam ada dongengnya. Alasan saya, cahaya lilin tiada kena mengena dengan cahaya Islam, cahaya Islam adalah Nur yang tidak boleh dipadam oleh sesiapa pun, kerana ia bukan cahaya hakiki (cahaya sebenar seperti cahaya lampu) tetapi cahaya maknawi (yang diumpamakan tetapi tidak sama).

Umat yang beragama Islam tahu bahawa bangsa Yahudi tidak pernah rasa tenang dan reda atas orang Islam, kerena mereka benar-benar inginkan umat Islam terpedaya atas segala ajakan mereka dalam segenap kehidupan manusia. Ini termasuklah mempengaruhi umat Islam supaya meniru mereka.

Allah SWT yang mengutus Rasul-Nya Muhammad saw telah berfirman yang bermaksud: Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu. (al-Baqarah: 120)

Allah SWT memaklumkan dan memberi peringatan agar umat Islam berhati-hati atas segala tindak tanduk kaum Yahudi yang sentiasa merancang jahat atas kemusnahan agama Islam. Adapun cahaya Islam tiada kaitannya dengan cahaya lilin, kalau dipadamkan cahaya lilin dengan meniup tidak bermaksud terpadam cahaya Islam.

Allah berjanji akan menjaga cahaya Islam, biarpun golongan yang memusuhi Islam cuba memadamnya, firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang kafir tidak suka (akan yang demikian). (al-Saf: 8)

Cahaya Allah dalam ayat ini bermakna Islam yang sedang berkembang dan akan terus berkembang biarpun ada usaha untuk memadamnya (menghentikan).

Menerusi kedua-dua ayat yang di atas dapat disimpulkan bahawa meniup lilin dan memotong kek tidak seperti yang dimomok-momokkan oleh segelintir penulis.

Mungkin cara berfikir sesetengah dari kita yang tidak analis sesuatu cerita dari sudut latar belakangnya, lalu mudah menerima perkhabaran yang belum tentu kesahannya. Apa-apa pun setiap amalan kita bergantung kepada niat.

Budaya potong kek diterima dan diislamisasi dengan tujahan nilai-nilai Islam. Justeru, bagi mereka yang ingin menyambut hari jadi setelah dia memotong kek adalah lebih baik kalau disertai dengan bacaan doa selamat.

Adapun nyanyian iringan happy birthday to you ditukar kepada "Allah selamatkan kamu". Seperkara yang perlu diingat ialah tiada acara melalaikan.

Oleh yang demikian, iringan doa adalah lebih utama kerana majlis itu disambut dengan kegembiraan dengan peningkatan usia yang dikekalkan kesihatan dan keafiatan.

Walaupun demikian, tokoh dan sarjana Islam, Prof. Dr. Yusof al-Qaradawi, menganggap bahawa menyambut hari lahir adalah suatu yang kurang tepat kerana kenapa harus disambut usia yang kian meningkat tua.

Sambutan yang dibenarkan oleh Islam adalah, dengan mengadakan majlis kesyukuran, dengan mengajak orang makan dan lain-lain amalan kebajikan yang lain, dan tiada aktiviti-aktiviti maksiat dalamnya

Doa mustajab bagi orang beriman

Daripada Abdullah ibn Abbas, Rasulullah SAW pernah berdoa: "Ya Allah aku berserah kepada engkau, aku beriman kepada engkau, aku bertawakal kepada engkau, aku kembali kepada engkau dan aku berjuang kerana engkau.

Ya Allah, aku berlindung dengan kemuliaan dan kekuatan engkau, tiada Tuhan yang aku sembah melainkan engkau, janganlah aku disesatkan. Engkau yang hidup dan tidak akan mati sedangkan jin dan manusia semuanya akan mati." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Doa mustajab bagi orang mukmin. Oleh itu hendaklah berdoa kepada Allah dengan menyerahkan diri penuh keimanan dan bertawakal kepadanya serta memuji sifat-Nya.

Setiap hamba Allah hendaklah meletakkan sepenuh harapan kepada-Nya supaya diterima doanya.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Anda mungkin juga meminati:

Friday, February 19, 2010

Akulah Adi Putra

Akulah Adi Putra
Melayu tdk penah lupa

duduk tahun satu rasanya tersiksa
tiada siapa peduli
tetapi aku bisa bedakan
ilmu Allah bagi dan ilmu diajar guru bermula dengan
‘A’, ‘B’, C ,’one’, ‘two’, ‘three’, ‘alif’, ‘ba’, ‘ta’

di mana trillion di manakah billion,
di mana tahfiz Al Quran
di mana doa2 para nabi para wali
untuk apa aku disini

aku berfikir rasional
aku berfikir international
pandai aku bijak aku comel aku
hanya untuk ditonton diuji dan dipuji
aku malu
alangkah ruginya mereka
untuk apa semua ini
di mana mata hati mereka?

pujian biar bertempat
marah bila bersopan
kurang ajar biarlah berbudi bahasa

tersirat mereka tak nampak
tersurat sahaja mereka lihat
di mana silapnya

Rasulullah memimpin ummah
hebatnya baginda
pimpinlah aku
doakanlah aku

aku punya cita-cita
aku punya idola
barangkali aku kecil mereka
hanya ketawa

Allah maha perkasa
tahfiz Al Quran itu hebat
Hafaz Yaasin itu penerang hati
matematik itu tunjang ilmu

ayuh bangsaku bangunlah
kita bertemankan islam
kita penuhkan ilmu didada
kita jadikan melayu hebat di persada dunia
bersamaku adi putra
akulah modal insan
anak melayu jati
wawasan 2020

takkan melayu hilang di dunia
pantang melayu menderhaka pada sultannya
pemuda harapan bangsa
pemudi tiang negara

mengapa bersembunyi diri di sebalik ibu pertiwi
sejengkalpun tanahairku dijajah
biar putih tulang jangan putih mata..

Friday, February 12, 2010

Sambutan Valentine Day 14 Feb Rai Kejatuhan Kerajaan Islam

TERINGAT penulis ketika memulakan sesi pengajaran di sebuah kelas apabila mengemukakan soalan; “ Siapa tahu bilakah Nabi Muhammad dilahirkan?”
Kelas menjadi senyap seketika dan ternampak beberapa pelajar menundukkan kepala.
“Baiklah, soalan kedua, bila perayaan menyambut Hari Kekasih diadakan?” Penulis terkejut kerana masing-masing berebut mahu menjawab. Begitulah senario masa kini menunjukkan budaya asing lebih menerap dan jadi ingatan kepada anak-anak muda. Salah satu acara tahunan yang seolah-olah sudah membudaya dalam kalangan generasi muda ialah perayaan menyambut Hari Kekasih atau Valentine Day yang diraikan pada 14 Februari setiap tahun.

Sambutan hari itu turut diraikan oleh generasi muda Islam yang tidak peduli mengenai asal-usulnya. Jadi, kita seharusnya melihat kembali sejarah wujudnya Hari Kekasih ini agar kita tidak mudah terjerumus dalam situasi yang boleh merencatkan iman.

Sejarah Hari Kekasih itu ada beberapa versi sumbernya dan di sini diceritakan semula agar kita dapat memahami secara jelas betapa terpesong kita jika turut sama meraikan hari berkenaan. Mengikut sejarah, Valentine adalah seorang paderi yang mempunyai pengaruh besar pada zaman pemerintahan Ratu Isabella di Sepanyol. Dia adalah orang kedua selepas kedudukan Paderi Besar Pope. Dikisahkan, Valentine adalah orang yang memainkan peranan besar semasa menumpaskan kerajaan Islam di Cordova, Sepanyol. Jasanya itu dianggap tidak boleh dilupakan dan sewajarnya dihargai. Justeru, tarikh 14 Februari ditetapkan sebagai cuti umum untuk meraikan kemenangan yang diterajui Valentine itu pada setiap tahun.

Dengan demikian, sekali gus digunakan sebagai hari mengingati kejayaan Valentine dalam menumpaskan orang-orang Islam di Sepanyol.

Manakala dalam cerita versi kedua pula dikisahkan bahawa paderi Valentine sebelum menumpaskan kerajaan Islam di Sepanyol dikatakan mempunyai dua orang kekasih. Kekasih pertama dikatakan beragama Islam dan yang kedua beragama Kristian Protestan. Namun, disebabkan kekasih pertama itu beragama Islam dia dikatakan hanya menumpukan pada kekasih kedua saja.

Dewasa ini banyak sangat unsur budaya Barat yang diagung-agungkan malah menjadi amalan generasi muda.

Terdapat satu lagi versi yang menyatakan pada 14 Februari 270M, paderi Valentine dibunuh kerana penentangannya terhadap penguasa Rome pada waktu itu, Raja Claudius II (268-270M). Ekoran peristiwa pembunuhan Valentine itu, dia dianggap sebagai simbol ketabahan dan keberanian. Sebagai memperingati Valentine, pada 14 Februari setiap pengikutnya yang beragama Kristian Katholik meraikannya sebagai ‘upacara keagamaan’. Jadi berdasarkan sumber sejarah asal-usul Hari Valentine itu jelas ia adalah satu tradisi dalam agama Kristian dan sememangnya sangat diraikan oleh penganut agama berkenaan. Persoalannya, mengapa pula anak-anak muda Islam di Malaysia begitu beria-ia sangat untuk bersama menjayakannya? Inilah akibatnya apabila mengikut sesuatu budaya asing secara membuta tuli tanpa mengkaji selok-belok sejarahnya. Ingatlah akan pesan Rasulullah yang bermaksud; “Sesiapa yang melakukan perbuatan yang menyerupai sesuatu kaum, maka ia turut termasuk bersama golongan itu.” Itulah peringatan Rasulullah kepada kita agar sentiasa berhati-hati dalam melakukan sesuatu perkara agar iman tidak tergelincir daripada landasan sebenar. Jadi, berdasarkan kedua-dua versi sejarah bermula perayaan Hari Kekasih maka jelaslah bahawa kita sebagai umat Islam tidak sepatutnya bersama penganut agama lain meraikannya.

Islam memberi banyak jalan untuk kita merayakan atau meraikan sesuatu. Percayalah, seandainya generasi muda Islam terus hanyut dalam anutan budaya asing yang bertentangan dengan agama, dikhuatiri jiwa dan hati mereka berjaya ‘dijajah’ oleh musuh Islam yang sentiasa memasang perangkap dalam usaha mereka memporak-perandakan pegangan akidah umat Islam. Perkara paling ditakuti oleh musuh-musuh Islam sejak awal sejarah Islam lagi ialah kemantapan akidah dan keutuhan tauhid ummah. Selagi umat Islam berpegang teguh kepada akidah yang benar selagi itulah anasir luar cuba memesongkan hala tuju ummah akan kecundang. Justeru, amatlah malang dan mengecewakan sekali apabila saban tahun bukan sedikit anak muda Islam terpengaruh dengan budaya dan gaya hidup yang jelas bertentangan dengan Islam.

Tentu sekali pihak musuh ketawa besar melihat begitu mudahnya golongan muda Islam dihanyutkan dengan amalan budaya asing.

Sebenarnya, beberapa fatwa berkenaan sambutan Hari Kekasih itu pernah dikeluarkan oleh Jawatan kuasa Fatwa Negeri Johor 2005 yang menyatakan amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan itu jelas mempunyai unsur-unsur agama Kristian dan amalannya bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dengan akidah, syariah dan akhlak Islamiah serta dilarang oleh Islam.

Oleh itu, umat Islam dilarang membabitkan diri dalam meraikan hari berkenaan.

Terdapat satu lagi fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatan kuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang telah bersidang pada 22-24 November 2005 di Kuching, Sarawak telah menetapkan bahawa budaya merayakan Hari Kekasih itu tidak pernah dianjurkan Islam dan umat Islam dilarang turut sama meraikannya. Oleh itu, jelas kedua-dua fatwa berkenaan memberikan garis panduan kepada seluruh umat Islam di negara ini mengenai haramnya menyertai perayaan Hari Kekasih itu. Kedua-dua fatwa yang dikeluarkan itu bukannya bersifat mengongkong golongan muda sebaliknya satu ketetapan agar mereka terpelihara dari penyelewengan akidah. Ingatlah wahai generasi muda, syaitan dan musuh Islam sentiasa mengintai-intai ruang dan peluang pada setiap ketika agar dirimu kecundang dalam arus kehidupan yang melalaikan. Berwaspadalah! Islam adalah agama yang suci bersih, jadi janganlah dikotorkan dan dihitamkan dengan pengamalan budaya yang memesongkan. Mengapakah perlu kita mencedok budaya asing yang bersifat negatif sedangkan kita sejak turun-temurun sudah tersedia pelbagai khazanah adat budaya yang penuh beradab. Kemajuan dan kemodenan tidak bermakna segala-gala yang terdapat di negara maju harus diikut kerana sebagai umat Islam kita seharusnya menolak amalan yang bertentangan dengan agama dan bersifat jahiliah moden. Insaf dan kembalilah hidup dalam kehidupan beragama yang sebenar

Monday, February 8, 2010

Doa Buat Sahabat

Segala puja dan puji itu hanya milikmu wahai Tuhan penentu segala takdir. Selawat dan salam buat Rasul junjungan petunjuk sepanjang zaman, Nabi Muhammad s.a.w dan ahli keluarga serta para sahabatnya yang umpama bintang-bintang bergemerlapan.

Ya Allah…

Dalam perjalanan kehidupan ini telah Engkau jadikan bagiku seorang teman. Sedangkan ia adalah diluar jangkaan dan sangkaan hambaMu ini. Aku tetapkan baginya satu peraturan yang hanya Allah yang akan menentukan segalanya.

Ya Allah…

Dalam kekalutan begini, dia pergi menyendiri dan hanyalah dititipkan suatu pesanan melalui seorang teman buatku. Dimanakah salahku wahai Tuhan dan tunjukkanlah dimana silapku. Jangan Engkau biarkan aku begini tanpa diketahui apakah kesalahan yang telah aku lakukan terhadapnya.

Ya Allah…

Walau apa pun takdirMu keatasku, maka disaat ini aku tahu dia perlukan pertolongan. Oleh itu wahai Tuhan, aku dengan penuh rasa kehambaan yang penuh kehinaan memohon padaMu bagi pihaknya, kerana dia adalah sahabatku.

Ya Allah…

Ampunilah daku dan sahabatku dan masukkanlah kami kedalam rahmatMu dan Engkau adalah Tuhan yang maha penyayang.

Ya Allah…

Jangan Engkau tinggalkan untuknya suatu dosa melainkan telah Engkau ampunkan. Dan tiada suatu aibnya, melainkan telah Engkau tutupinya. Tiada suatu dukanya melainkan telah Engkau hilangkan daripadanya. Tiada suatu hutangnya melainkan telah Engkau bayarkannya. Tiada suatu kesakitan melainkan telah Engkau sembuhkannya. Tiada suatu hajatnya dari keperluan dunia dan akhiratnya yang telah Engkau redhai dan tepat untuknya melainkan telah Engkau tunaikan segalanya baginya wahai Tuhan yang Maha Penyayang.

Ya Allah…

Lindunglah sahabatku dari hilangnya nikmatMu dan berubahnya kesejahteraanMu dan mendadaknya seksaMu dan berbagai macam murkaMu.

Ya Allah…

Sungguhnya aku bermohon kepadaMu tabahkanlah dia dalam menghadapi segala urusan dan kekuatan dalam menerima petunjukMu.

Ya Allah…

Kurniakanlah kepadanya jiwa ketaqwaan dan sucikanlah. Engkaulah sebaik-baik yang mensucikannya.

Ya Allah…

Sungguhnya aku bermohon kepadaMu bagi pihaknya dengan sabaik-baik permintaan, sebaik-baik permohonannya, sebaik-baik kejayaannya dan sebaik-baik pahala baginya. Tetapkanlah untuknya, beratkanlah timbangan kebaikannya. Mantapkanlah imannya, tingkatkanlah darjatnya, terimalah solatnya dan ampunkanlah dosa-dosanya. Ya Allah, aku bermohon baginya kepadaMu tingkat yang tinggi di syurga. Ya Allah perkenankanlah permohonanku.

Ya Allah…

Sungguhnya Engkau mengetahui apa yang aku rahsiakan dan apa yang aku perlihatkan, maka ampunkanlah kealpaan dan kelalaiannya. Dan Engkau mengetahui segala hajatnya, maka kabulkanlah permohonannya. Ya Allah, aku bermohon baginya kepadaMu keimanan yang selalu mendampingi hatinya, dan keyakinan yang kuat sehingga dia mengerti bahawasanya tidak akan menimpa dirinya kecuali apa yang telah Engkau tentukan baginya dan bahawasanya apa sahaja yang telah menimpa dirinya bukanlah semata-mata yang meluputkannya. Dan apa sahaja yang telah meluputkannya bukanlah yang semata-mata menimpa dirinya.

Ya Allah…

Aku bermohon baginya kepadaMu iman yang dia buat cari kebenaran. Cahaya yang dia jadikan ikutan dan rezeki yang dirinya cukupkan. Ya Allah…jadikanlah dia cinta kepadaMu dengan hatinya seluruhnya dan rela kepadaMu dengan segala kemampuan dirinya seluruhnya. Ya Allah… jadikanlah cintanya seluruhnya hanya kepadaMu dan amal perbuatannya seluruhnya hanyalah untuk mencari keredhaanMu.

Ya Allah…

Apa sahaja yang Engkau jauhkan darinya dari hal-hal yang dia cintai, jadikanlah hal itu sebagai penguat untuknya mencintai apa yang Engkau cintai dan jadikanlah cintanya kepadaMu sebagaimana Engkau mencintai.

Ya Allah…

Cukuplah diriMu bagiku, tiada Tuhan selain Engkau. Hanya kepadaMu aku bertawakal. Dan Engkaulah Tuhan yang memiliki arasy yang agong.