Tanam sifat "terlalu takut untuk kalah" Engku Aziz
Monday, 29 October 2007
SEREMBAN: Orang Melayu perlu mempunyai sifat "kiasu", iaitu sentiasa mahu menjadi nombor satu atau yang terbaik
dalam apa jua bidang yang mereka ceburi, kata pakar ekonomi dan cendiakawan negara Prof Diraja Ungku Aziz Ungku
Abdul Hamid
Beliau berkata walaupun sifat "kiasu", perkataan Hokkien yang bermakna "terlalu takut untuk kalah" mempunyai
kebaikan dan keburukannya, dan orang Melayu perlu mengambil aspek keberaniannya dalam berusaha mencapai
kecemerlangan dalam kehidupan mereka.
Sifat "kiasu" itu adalah antara tujuh kebaikan yang perlu dimiliki orang Melayu untuk berjaya yang digariskannya pada
Forum Khas Konvensyen Pertanian Kebangsaan 2007 yang bertemakan "Melayu Dalam Pertanian: Dulu, Kini dan Akan
Datang" di sini hari ini.
Konvensyen dua hari mulai semalam, dianjurkan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Biro Pertanian
Umno Malaysia dan Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan. Ia bertujuan mencetus kesedaran di kalangan
anggota Umno khususnya, mengenai pentingnya industri pertanian terhadap ekonomi orang Melayu.
Ungku Aziz berkata orang Melayu juga perlu mempunyai sikap berani serta berani menanggung risiko, selain sifat
"siddique" yang bermakna "berkata benar" serta beramanah, telus dan mempunyai sifat ingin tahu.
Beliau berkata sebelum zaman penjajahan, orang Melayu terkenal sebagai pedagang di rantau ini berikutan keberanian
mereka mengembara menjaja barangan dagangan di peringkat antarabangsa serta berani mengambil risiko.
Malangnya dengan kedatangan British, orang Melayu telah ditindas dan minda serta pemikiran mereka dipengaruhi
secara halus menyebabkan sehingga kini masih tidak mampu bangkit untuk mencapai kecemerlangan zaman
Kesultanan Melayu, katanya.
Bagaimanapun beliau yakin orang Melayu, terutama yang terlibat dalam bidang usahawan akan menggubah sikap
mereka secara automatik dengan lebih menitik beratkan ilmu dan sentiasa berusaha bagi memajukan diri kerana
wujudnya sikap "ingin tahu" untuk membangun dan memperluaskan bidang yang mereka ceburi.
Terdahulu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucaptamanya pagi ini turut
menyentuh mengenai pentingnya orang Melayu mempunyai sikap "kiasu".
"Kita kena fikirkan, cari jalan dan kaedah, bagaimana kita boleh ubah minda dan fikiran orang Melayu terhadap diri
mereka sendiri dan persekitarnnya supaya mereka boleh jadi Kiasu, aktif, gila kerja, tak suka duduk diam, sungguhsungguh,
setia, bertanggungjawab, cinta serta sayangkan bangsa dan agamanya," katanya.
Naib Presiden Umno itu berkata: "Kita perlu membentuk satu pandangan hidup orang Melayu, memperbetulkan `world
view' mereka dengan cara yang baru dan konkrit, sistematik dan praktikal."
Beliau yang tidak menafikan kerajinan orang Melayu bagaimanapun berkata usaha perlu dilakukan bagi menjadikan
mereka lebih rajin, serius dan bersungguh dalam kerjaya.
"Orang Melayu memang mahu jadi kaya tapi mahu ambil jalan yang mudah dan cepat, takut mengambil risiko dan hanya
melakukan pelaburan yang paling minima. Mereka suka membina dunia fantasi, dibuai dengan membayangkan yang
indah-indah dan seronok-seronok, tetapi hakikatnya mereka tidak serius dan bersungguh melakukan kerja dan tugasan,"
katanya.
Muhyiddin berkata akhirnya orang Melayu menjadi bangsa yang lemah, tidak berani, tidak agresif untuk mencapai
kejayaan sehingga timbul cerita seperti `Angan-Angan Mat Jenin', iaitu jenaka yang menghina bangsanya sendiri.
Beliau berkata orang Melayu secara relatifnya masih rendah dari segi produktiviti, malah lebih rendah daripada
pendatang tanpa izin walaupun mereka tidak ada kemahiran.
"Adakah ini akibat penjajahan yang begitu lama, hampir lebih 500 tahun menyebabkan minda orang Melayu beku dan
statik bagaikan tanah yang tidak berbaja dan tidak ditimpa hujan sehingga tanah menjadi gersang dan me"layu?"
katanya. Bernama
No comments:
Post a Comment