Saturday, January 23, 2010

Amalan Perubahan Diri

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Mulakan yang kanan lebih dahulu dari yang kiri

Setiap hari banyak perkara yang melibatkan kanan dan kiri dari anggota kita. Tetapi tidak selalu anda mendahulukan yang kanan dari yang kiri bukan? Masa ingat mungkin anda mulakan yang kiri. Tetapi bila nak cepat, gopoh-gapah dan kelam-kabut anda mula tidak ambil endah itu semua. Sebenarnya jika tidak diubah selamanya anda akan dengan tabiat anda ini.

Banyak yang kita boleh mula dengan kanan. Antaranya pakai baju, pakai seluar, potong kuku, ambil wuduk, masuk masjid dan banyak lagi yang boleh anda senaraikan untuk saya. Semuanya diberikan pahala oleh Allah apabila anda niatkan untuk ibadah. Dan paling penting jika amalan positif ini menjadi amalan maka corak pemikiran dan emosi anda juga akan turut dipengaruhi.

Anda mungkin kata “Ala..senangnya nak buat.” Jadi jangan cakap saja. Lakukan dan cuba istiqamah dengan amalan ini.
Pamerkan senyuman yang ikhlas

Setiap hari anda pergi ke tempat kerja. Apa yang anda lakukan apabila anda terserempak dengan orang lain di pejabat anda? Jangan lokek untuk mempamerkan senyuman yang ikhlas kepada sahabat-sahabat anda atau kepada pelanggan anda. Senyuman adalah cerminan pertama siapa anda di pandangan orang lain. Senyuman akan menimbulkan kemesraan anda dengan sesiapa sahaja. Lebih-lebih lagi kepada pelanggan anda.

Ramai orang yang bekerja tidak menunjukkan mereka menghargai pelanggan. Jangan memberikan salam, senyuman pun mereka tidak memberikannya. Sudah pasti sedikit sebanyak pelanggan anda merasakan organisasi anda adalah organisasi yang menakutkan kerana tidak mesra pelanggan. Tetapi perlu diingat juga, senyuman perlu diiringi dengan kata-kata yang baik. Jika sebaliknya tiada gunanya anda senyum kerana senyuman anda hanyalah kepura-puraan.

Tidak sukar untuk senyum. Jangan tunggu esok untuk senyum kepada orang lain kerana senyuman yang ikhlas akan diberikan pahala oleh Allah. Jika senyuman anda dapat menyenangkan hati orang lain maka anda akan lebih mudah didampingi ketika di tempat kerja anda.

Peluk anak-anak dan isteri / suami setiap hari



Saya tersenyum sendiri sewaktu menulis entri hari ini. Mungkin anda juga turut tersenyum membacanya. Seakan melucukan tetapi adakah anda melakukannya setiap hari? (bagi yang sudah berkahwin). Satu bentuk praktikal yang akan merangsang emosi anda pada hari itu untuk menjadi seorang yang hebat.

Jika anda membaca entri saya dua hari lepas berkenaan menangani stres, tahukah anda dengan memberikan pelukan pada anak-anak dan isteri anda setiap hari emosi anda akan menjadi jauh lebih stabil dari biasa. Kestabilan ini jika dijadikan kebiasaan setiap hari akan mampu menepis segala tekanan sama ada di tempat kerja atau sebab-sebab yang lain.

Apa yang bagusnya juga, anda juga merangsang orang lain mempunyai emosi yang stabil. Anak-anak akan membawa kehangatan pelukan ayah dan ibunya ke sekolah setiap hari. Sudah pasti kasih sayang yang dibawa bersama memberikan emosi dan pemikiran positif untuk anak-anak belajar dan menumpukan perhatian. Suami dan isteri juga akan pergi ke tempat kerja dengan perasaan kasih sayang kepada keluarga, sudah pasti kasih sayang ini akan memberikan ketenangan dalam meneruskan kerja dan kehidupan setiap hari.
Berpakaian putih lebih menginsafkan

Berapa pasangkah pakaian yang anda beli setahun? Saya pasti bagi anda yang bekerja membeli paling kurang dalam 20 pasang setahun bagi perempuan berbanding lelaki yang mungkin lebih kurang kuantitinya. Bagaimana pula fesyennya? Sukar nak saya terangkan tentang ini memandangkan saya bukan peragawati dan model. Namun selalunya kita membeli pakaian suka pada fesyen terbaru, corak yang cantik dan juga kena sedondong antara kain, baju, tudung, kasut dan juga beg tangan bukan?

Sebenarnya kerana pakaian beginilah kita banyak terpesong dari landasan akhlak yang baik. Kerana pakaian cantik kita lupa bahawa masih ada yang tidak mampu membeli pakaian. Kerana pakaian kita kadang-kadang menunjuk-nunjuk di hadapan orang lain tentang fesyen baju kita. Perbanyakkanlah menggunakan warna putih dalam kehidupan anda selepas ini. Warna putih adalah warna tema seluruh umat Islam di dunia ini.

Warna pakaian ketika kita diusung nanti hanya warna putih kosong. Warna putih adalah warna fitrah manusia yang dilahirkan suci dan dikebumikan juga dalam keadaan suci. Mudah-mudahan hati kita sedikit berbekas dengan cara kita memilih pakaian pada hari ini. Konsep warna putih akan sentiasa mengingatkan diri kita tentang kematian yang tidak tahu bilakah akan menjemput kita.

No comments:

Post a Comment