Monday, April 19, 2010
Perpaduan dari konteks Islam
Satu Malaysia atau juga disebut sebagai One Malaysia adalah satu gagasan yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Dato Seri Najib bin Tun Haji Abdul Razak sebagai satu panduan dalam memupuk perpaduan dikalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama demi menjamin kestabilan kearah kemajuan dan pembangunan rakyat Malaysia yang lebih baik. Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada komposisi kaum, agama dan budaya yang berbeza. Oleh yang demikian wajarlah jika terdapat konsep atau gagasan yang diwujudkan pihak pemerintah untuk menjamin perpaduan dan kesejahteraan rakyat dalam kehidupan didunia yang serba moden ini. Islam sendiri memberi garis panduan yang jelas dalam usaha membentuk perpaduan dikalangan masyarakat berbilang bangsa seperti mana yang difirmankan Allah dalam Al-Quran surah Al-Ruum(40:22) yang bermaksud: “Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlainan bahasamu dan warna kulitmu. Sesungguhnya pada hal demikian itu terdapat tanda-tanda bagi orang yang mahu mengetahui” dan seterusnya Allah SWT berfirman dalam surah Al-Hujuraat(49:13) yang bermaksud: “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal(lita’aarafu).Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah lagi Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”. Ayat ini memberi satu pengajaran supaya manusia bekerjasama menegakkan kedamaian, keamanan dan persaudaraan sejagat tanpa mengira warna kulit, bahasa mahupun budaya. Segala bentuk konsep dan gagasan ciptaan manusia atas tujuan perpaduan sebenarnya tidak lengkap dan punyai kelemahan, melainkan kita menjadikan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagai sumber rujukan dan panduan dalam mencipta konsep perpaduan sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Al-Jaatsiyah(45:20) yang bermaksud :”Al-Quran ini adalah pedoman bagi manusia,petunjuk dan rahmat bagi kaum yang menyakini”. Malaysia sebenarnya sebuah negara yang bertuah kerana didiami oleh berbilang bangsa. Perbezaan dari segi budaya ini sebenarnya memberi kelebihan untuk rakyat negara ini kerana mereka dapat mengetahui dan mempelajari kebaikkan dari nilai-nilai budaya setiap bangsa. Sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasminya sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 3(1)), sewajarnya cara hidup berpandukan Islam dijadikan asas keutamaan bagi rakyatnya yang beragama Islam dan juga kepimpinan negara yang diketuai seorang Islam sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Baqarah(2:208) yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam itu semuanya”. Dalam menjadikan Islam sebagai cara hidup, rakyat Malaysia yang beragama Islam hendaklah sentiasa bersikap adil dan saksama dalam setiap aspek kehidupan kerana keadilan dapat menjamin kepada perpaduan. Firman Allah SWT dalam surah Al-Maaidah (5:8) yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. Sebagaimana Allah telah menjadikan Rasul-Nya sebagai contoh dan teladan yang baik bagi umat manusia, maka wajarlah umat Islam di Malaysia pula menjadi contoh yang baik kepada umat lain. Dalam merealisasikan perkara ini umat Islam di Malaysia hendaklah sentiasa mengamalkan kesederhanaan dan bertolak-ansur serta tidak bersikap angkuh, takbur dan sombong kerana sikap-sikap itu dicela Allah. Tidak salah untuk umat Islam di Malaysia mencari kemajuan dan kekayaan namun janganlah sehingga mengambil hak kaum lain dan melampaui batas dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti rasuah dan salahguna kuasa. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Qashas ayat 77 yang bermaksud: “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu(keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah(kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu(dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan” Apabila sesebuah kerajaan memerintah dengan adil dan saksama dari segi pembahagian hasil kekayaan negara untuk rakyat semua tanpa memikirkan perbezaan kaum dan latar belakang budaya pastinya rakyat akan lebih bersatu dan hidup harmoni lantaran keperluan kehidupan mereka dapat dipenuhi. Firman Allah SWT dalam surah Al-Zariyat(51:19) yang bermaksud: “Dan pada harta mereka,(ada pula bahagian yang mereka tentukan menjadi) hak untuk orang miskin yang meminta dan orang miskin yang menahan diri(daripada meminta)”. Melalui konsep 1Malaysia pihak pemerintah turut menekankan kepentingan nilai-nilai murni dan keadilan sosial yang sememangnya dituntut dalam Islam dan menjadi perkara penting untuk membangunkan rakyat yang hidup aman dan saling menghormati. Firman Allah SWT dalam surah An-Nahl ayat 90 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu(dengan suruhan dan laranganNya ini),supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.” Selain itu amat wajar untuk rakyat mematuhi dan cuba merealisasikan hasrat pihak pemerintah dalam memupuk perpaduan manakala pihak pemerintah pula dalam melaksanakan apa jua konsep dan gagasan untuk perpaduan dan kemajuan rakyat haruslah kembali kepada ajaran Islam yang berpandukan Al-Quran dan Al-Sunnah sebagaimana firman Allah SWT dalam surah An-Nisaa’ ayat 59 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan taatlah kepada “Ulil-Amri”(orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah(berselisihan) dalam sesuatu perkara,maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Kitab Allah(Al-Quran) dan (Sunnah)RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik(bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya”. Kesimpulannya perpaduan adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam bahkan Islam melarang keras umatnya untuk mencela mana-mana kaum hanya semata-mata berbeza kaum keturunan bahkan Islam meletakkan keadilan sebagai perkara utama untuk membina keharmonian dan kemakmuran hidup manusia. Allah berfirman dalam surah An-Nisaa’ ayat 58 yang bermaksud “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa melihat. Kesimpulannya wajarlah kita kembali kepada ajaran Islam yang menyeluruh tanpa meninggalkan sebahagian dan mengambil sebahagian yang lain kerana Islam adalah agama yang meliputi segenap aspek kehidupan manusia di muka bumi ini.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment