FADHILAT BULAN SYAABAN
Bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan.
Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya bulan Rejab adalah kesempatan
untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan Syaaban adalah kesempatan untuk
memperbaiki diri dari segala macam cela dan pada bulan Ramadhan adalah masa untuk
menerangkan hati dan jiwa.
Di antara amalan-amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah:
· Memperbanyakkan puasa sunat
Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu bahawa Rasulullah SAW. lebih gemar
untuk berpuasa sunat dalam bulan Syaaban berbanding dengan bulan-bulan yang
lain. Justeru itu adalah patut bagi kita selaku umat Baginda mencontohinya dalam
memperbanyakkan puasa sunat bagi menyemarak dan mengagungkan bulan
Syaaban ini.
Di dalam kitab Durratun Nasihin ada menyebut sebuah hadis yang menyatakan
bahawa Rasulullah SAW. bersabda yang maksudnya: "Barangsiapa berpuasa tiga hari
pada permulaan Syaaban dan tiga hari pada pertengahan Syaaban dan tiga hari pada
akhir Syaaban, maka Allah Taala mencatat untuknya pahala seperti pahala tujuh puluh
nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah Taala selama tujuh puluh
tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid."
Memperbanyak doa, zikir dan berselawat kepada Rasulullah S.A.W.
Sabda Rasulullah S.A.W.: "Barangsiapa yang mengagungkan bulan Syaaban, bertaqwa
kepada Allah, taat kepada-Nya serta menahan diri dari perbuatan maksiat, maka Allah
Taala mengampuni semua dosanya dan menyelamatkannya di dalam tahun itu dari segala
macam bencana dan penyakit." (Dipetik dari kitab Zubdatul Wa'izhin)
· Bertaubat
Diriwayatkan dari Umamah Al Bahili Radiallahuanhu, dia berkata: Rasulullah S.A.W.
bersabda yang maksudnya: "Manakala masuk bulan Syaaban, sukacitalah dirimu dan
perbaiki niatmu."
Sabda Nabi s.a.w. : Apabila masuk bulan Sya'aban, baikkanlah niatmu padanya, kerana
kelebihan Sya'aban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu. Barangsiapa
berpuasa sehari pada bulan Sya'aban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka. Dia
akan menjadi tauladan Nabi Allah Yusuf a.s.di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah
seperti pahala Nabi Allah Ayub a.s. dan Nabi Daud a.s. Jika dia sempurnakan puasanya
sebulan di bulan Sya'aban, dimudahkan Allah atasnya Sakrotulmaut dan ditolakkan
(terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada hira-hara
Munkar dan Nakir, ditutup Allah keaipannya di hari kiamat dan diwajibkan syurga
baginya. Barangsiapa berpuasa pada awal hari khamis pada bulan Sya'aban dan akhir
khamis daripada Sya'aban, dimasukan dia ke dalam syurga. (dari kitab Al-Barakah).
Berkata Siti Aisyah r.a., bulan yang lebih dikasihi oleh Rasululah s.a.w. ialah bulan
Sya'aban. Sabda Nabi s.a.w.: “Sya'aban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan
umatku. Sya'aban ialah mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah
menyucikan dosa (jasmini rohani).
Sabda Nabi s.a.w.: “Bahawa puasa Syaba'an kerana membesarkan Ramadhan. Siapa
yang berpuasa tiga hari daripada bulan Sya'aban, kemudian dia bersalawat atasku
beberapa kali sebelum berbuka puasa maka di ampunkan oleh Allah dosanya yang telah
lalu, diberkatikan rezki baginya” antara lain sabdanya lagi: “Bahawa Allah Ta'ala
membukakan pada bulan itu tiga ratus pintu rahmat”.
PERISTIWA PENTING DI BULAN SYAABAN
1. Malam Nisfu Syaaban
Dari Abi Hurairah ra dari Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya : "Telah
datang Jibril a.s pada malam Nisfu Syaaban dan dia berkata , Ya Muhammad,pada
malam ini pintu-pintu langit dan pintu-pintu rahmat dibuka, maka berdirilahdan
kerjakan sembahyang lalu angkatlah kepalamu dan kedua tanganmu ke langit !" Kata
saya (Nabi Muhammad) :
"Hai Jibril, apakah erti malam ini ?" Dia (Jibril) menjawab: "Pada malam ini telah
dibuka 300 pintu rahmat, maka Allah telah mengampuni orang-orang yang tidak
mensyirikkan Allah dengan sesuatu kecuali ahli sihir, bomoh hitam, orang-orang yang
suka permusuhan/pergaduhan, peminum arak, orang-orang yang berbuat zina,
pemakan riba, orang-orang yang derhaka kepada kedua orang tua, orang-orang
yang suka mengadu domba (batu api) dan orang-orang yang memutuskan tali
persaudaraan, maka sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni kesalahannya
sehingga mereka mahu bertaubat dan tidak akan mengulang lagi atas perbuatannya
itu."
Maka pergilah Nabi Muhammad SAW untuk mengerjakan sembahyang serta
menangis di dalam sujudnya dengan membaca : "Ya Allah sesungguhnya aku
berlindung kepadaMu dari seksaMu dan murka Mu dan aku tidak menghitung-hitung
pujian kepadaMu, sebagaimana Engkau memuji kepadaMu sendiri, maka segala puji
bagiMu sehingga Engkau redha." Dipetik dari Kitab Zubdatul Wa'idzin.
2. Penukaran Arah Kiblat
Pada awal diwajibkan perintah solat kepada umat Islam, Rasulullah SAW dan para
sahabat berkiblatkan Baitul Muqaddis. Ini telah menjadi satu kontraversi pada waktu
itu. Umat Yahudi telah mendakwa bahawa agama mereka adalah benar dan
diredhai oleh Allah SWT kerana umat Islam telah meniru arah ibadat mereka iaitu
menghadap Baitul Muqaddis.
Umat Islam telah ditohmah dengan berbagai-bagai tohmahan dan ujian. Para
Sahabat RA telah mengadu kepada Rasulullah SAW dan Rasulullah SAW menyuruh
mereka agar terus bersabar dengan ujian itu sehinggalah ada perintah baru dari
Allah SWT. Allah SWT Maha Mengetahui dan Maha Mendengar tentang apa yang
berlaku pada ketika itu. Allah SWT telah mewahyukan agar Rasulullah SAW
mengadap ke Baitullah Kaabah.
Sebahagian ulamak sirah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW menerima wahyu
perintah mengadap Baitullah pada 15 Syaaban semasa beliau mengimamkan solat.
Sebahagian ulamak mengatakan pada solat Asar, ada yang mengatakan Maghrib
dan ada yang meriwayatkan pada solat Isya’. Rasulullah SAW sebagai imam terus
mengadap ke Baitullah dan diikuti oleh para sahabat sebagai makmum.
3. Peperangan Bani Mustaliq (Muraisi’)
Bani Mustaliq ialah salah satu puak dari kaum Yahudi. Mereka telah merancang untuk
membunuh Rasulullah SAW dan berita ini disampaikan kepada Rasulullah SAW oleh
seorang sahabat dari puak badwi. Peperangan ini adalah turutan dari peperangan
bani Quraizah, kaum yahudi yang telah dihalau oleh Rasulullah SAW keluar dari
Madhinah. Peristiwa ini terjadi pada bulan Syaaban, 5H. Pasukan kaum muslimin
dapat melumpuhkan pasukan Bani Mustaliq.
Sebagian pasukan Bani Mustaliq ada yang ditawan, termasuklah salah seorang putri
pemuka Bani Mustaliq yaitu Barrah, yang nama lengkapnya adalah Barrah binti al-
Harris bin Dirar bin Habib bin Aiz bin Malik bin Juzaimah Ibnu al-Mustaliq. Al-Harris
bin Dirar, ayah Barrah adalah pemimpin Bani Mustaliq. Barrah telah menjadi tawanan
perang milik Sabit bin Qais. Disebabkan Barrah ini seorang perempuan yang cerdik,
ia meminta untuk dibebaskan dari Sabit bin Qais, setelah diadakan pembicaraan,
Sabit bin Qais meminta tebusan yang mahal. Tetapi, Barrah waktu itu langsung
menemui Rasulullah SAW untuk membicarakan masalah tebusan bagi dirinya.
Kemudian Rasulullah SAW pada waktu itu menyetujui membebaskan Barrah dan
menebusnya dari Sabit bin Qais dan terus menikahi Barrah dan Rasulullah SAW
mengganti nama Barrah menjadi Juwairiyah. Tindakan Rasulullah SAW ini telah
memberi banyak faedah kepada umat Islam ketika itu, diantaranya ialah ramai
dikalangan Bani Mustaliq yang memeluk Islam dan terpadamnya dendam permusuhan
di antara umat Islam dan Bani Mustaliq. Juwairah meninggal dunia pada tahun 56H.
No comments:
Post a Comment