Monday, December 6, 2010

PERUTUSAN YAB PERDANA MENTERI SEMPENA SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1432H / 2010

PERUTUSAN MAAL HIJRAH 1432H / 2010

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

Saudara dan saudari sekalian

  1. Mendahului perutusan ini, kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana di atas taufik dan inayah-Nya dapat kita menyambut Maal Hijrah 1432H bersamaan 2010M pada tahun ini dalam suasana kesederhanaan dan penuh kerahmatan.
  2. Hari ini, seluruh umat Islam sedang memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w. yang penuh barakah itu. Bagi kita, sambutan ini merupakan kesinambungan dalam memperingati dan menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w. Peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Madinah adalah satu gerakan berstrategik melalui penjanaan daya kreativiti yang tinggi dilatari oleh tradisi keilmuan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t
  3. Sambutan Maal Hijrah di negara kita pada tahun ini bertemakan “1Malaysia, 1Ummah”. Tema ini bertepatan dengan semangat hijrah yang dirukuni oleh Rasulullah s.a.w. dalam melahirkan satu ummah yang berteraskan kepada nilai-nilai murni, berpaksikan keadilan sosial, prinsip penerimaan dan meraikan kemajmukan melalui kepelbagaian.
  4. Semangat Hijrah inilah yang telah kita terjemahkan dalam bentuk program transformasi negara. Sememangnya, kesederhanaan dengan erti kata seimbang dan terbaik telah menjadi kerangka rujuk kita membangunkan negara selama ini.
  5. Menelusuri sejarah kejayaan negara, Malaysia kini telah muncul sebagai sebuah negara membangun yang maju, berdaya saing serta progresif. Kejayaan ini adalah didasari kekuatan perpaduan 1Ummah yang berasaskan keunikan perpaduan antara kaum yang sedia ada.
  6. Lantaran itu, kita mestilah berusaha untuk sentiasa berhijrah bagi mencipta kejayaan dan inovasi baru yang memberi impak rahmat kepada ummah.
  7. Kita juga telah menyarankan pembentukan pergerakan kesederhanaan di peringkat global, hakikatnya kita telah merujuk kepada semangat dan saranan yang dijanai oleh ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Percayalah, Malaysia sentiasa konsisten dalam menerajui konsep kesederhanaan dan keamanan sejagat sejak lima dekad yang lalu.
  8. Selama ini, pelan penghijrahan ekonomi dan pembangunan negara telah membuktikan falsafah kesederhanaan dan keseimbangan ini adalah satu pencapaian hebat dan mesej dakwah Islamiah yang besar di tahap global. Ia telah memberi pengiktirafan kepada Malaysia sebagai peneraju pemikiran dalam pelbagai bidang yang signifikan kepada dunia Islam.
  9. Pengiktirafan ini merupakan pemangkin kepada kita agar terus istiqamah dalam menjayakan program transformasi bersepadu dalam menjana model baru ekonomi bagi mewujudkan sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Ianya seiring dengan komitmen kita untuk melokasi Malaysia sebagai ikon kemakmuran, keharmonian dan kesederhanaan yang multi etnik dan multi agama sifatnya.
  10. Sesungguhnya, kita telah memberikan komitmen tinggi dalam membawa pengertian hijrah kepada agenda transformasi berganda buat Malaysia. Ianya bukan sahaja digerakkan melalui bidang ekonomi, sosial serta politik, malah profil Malaysia di pentas sejagat juga diberikan suntikan transformasi bagi mengungguli teraju teladan kesederhanaan.
  11. Sekiranya kita dapat meneladani semua ini, maka ianya akan mencetuskan lonjakan rahmat yang juga turut berganda kepada rakyat sekaliannya. Sesuai dengan firman Allah di dalam surah al-An’am ayat enam yang bermaksud: “Sesiapa yang membawa amal kebaikan, maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).”
  12. Mengakhiri perutusan, saya dan keluarga mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1432 kepada semua seluruh umat Islam Malaysia walau di mana jua berada dan raikanlah sambutan ini bersama rakan-rakan kita daripada pelbagai bangsa demi kekuatan “1Malaysia 1Ummah”.

Wabillahit-Taufiik wal-Hidayah, wassalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wabarakaatuh.

Thursday, December 2, 2010

Kasih dan Cinta dalam Islam

“Syair Arab menyebut, apabila seseorang yang bercinta di tanya, “Apakah kau menyintai atau
sedang bercinta dengannya?”, maka dijawabnya, “Oh, tidak…kawan sahaja atau apa
sahaja alasannya,” Ketahuilah dia seorang pasangan KAZZAB (penipu)”
______________________________________

“…Rasa hormat adalah asas penting menjalin hubungan cinta yang suci sesuai dengan aturan
Allah swt. Hormat kepada perintah Allah, ajaran Rasul serta hormat ke atas hak dan maruah di
antara pasangan amat dititik beratkan ke arah satu hubungan yang berkekalan.

Seorang lelaki yang jujur terhadap cinta dan kasih sayang yang terjalin terhadap seorang wanita tidak sewenang-wenangnya menyentuh tangan wanita atau memegang erat tubuhnya. Wanita bukannya objek yang boleh diperalatkan. Jika ini terjadi, seorang wanita perlu berfikir, apakah pasangan seperti ini mampu melindungi dan menjaga maruahnya apabila berkahwin nanti?

Jika hari ini haknya tergadai kerana seorang yang dinamakan kekasih, apa kesudahan yang bakal
berlaku satu hari nanti?…”
______________________________________

Istilah cinta amat popular dan menjadi satu ungkapan setia di bibir-bibir remaja yang
menganggapnya satu kalimah suci dan bererti.Ada yang berbangga memiliki seorang kekasih yang setia dan mula memasang angan-angan untuk mendirikan rumah tangga bersama pasangan pilihan.

Fenomena ini berlanjutan dari bangku sekolah lagi malah adakalanya membawa kepada
sesuatu di luar jangkauan

Cinta perlu difahami. Semestinya seorang remaja perlu memahami kehendak dan definisi yang
tepat. Tanya pada diri, sama ada cinta hanya sekadar gelojak perasaan serta rasa tertarik antara satu

sama lain cukup untuk menjelaskan maksudnya? Di dalam artikel bertajuk Hakikat Percintaan

Dalam Islam, rasa hati yang dinamakan cinta merupakan satu perasaan yang semulajadi di
alami oleh setiap insan baik muda mahupun tua.

Allah telah menganugerahkan manusia naluri untuk meneruskan keturunan (salah satunya,
menyukai pasangan berlainan jantina) atau dikenali dengan gharizah Al-Nau’.

Ini merupakan salah satu naluri manusia dari yang tiga iaitu gharizah Al-baqa’ (naluri untuk
meneruskan kehidupan dan mempertahankan),gharizah Al-Tadayyun (naluri untuk menyembah
dan beragama) dan gharizah Al-Nau’. Jadi adanya perasaan itu sememangnya sudah

fitrah manusia dan perkara ini wajar dan tidak haram di sisi Islam.

Dalam keadaan ini, manusia perlu memahami kedudukan cintanya dan ke mana hala tuju
seterusnya.Malangnya remaja hilang punca dan meletakkan satu kesimpulan yang mudah tentang hakikat cinta.

Cinta perlu difahami sebagai satu rasa kasih sayang yang penuh rasa hormat, tanggungjawab,
kesetiaan, komitmen, keikhlasan, bermaruah dan ada matlamat.

Jika ciri-ciri ini tidak ada dalam apa yang dikatakan sebagai cinta, maka hubungan
sedemikian sekadar satu permainan dan kepura- puraan sahaja.

Konsep cinta dalam Islam meletakkan satu aturan yang sistematik dan teratur tanpa mengabaikan
hubungan antara manusia dan Allah. Atas dasar ini, Islam meletakkan cinta pada satu

kedudukan yang bermaruah dan bernilai baik bagi pihak lelaki dan perempuan.

Ke mana hala tujunya destinasi cinta remaja? Adakah setakat mengisi usia remaja dan
adakalanya putus di tengah jalan?

Mungkin destinasi cinta remaja yang diingini lebih kepada konsep ala Barat yang disifatkan penuh
romantis dan indah.Mulianya cinta berlandaskan Islam kerana cinta yang dibina bermatlamat. Kerana ingin mendapat kasih sayang tuhan, manusia sedia berkongsi rasa cinta dan kasih sayang sesama insan.

Kerana inginkan kasih sayang tuhan jualah,masing-masing ingin selamat-menyelamatkan antara satu sama lain dari segi hubungan dan kehidupan di dunia untuk mengejar sesuatu yang
abadi di akhirat.

Cinta yang dibina bukan cinta kosong tetapi cinta yang punya pengertian yang luhur dan hanya
dapat dirasakan dengan jiwa yang bersih yang sentiasa mencari tuhan