Monday, December 6, 2010

PERUTUSAN YAB PERDANA MENTERI SEMPENA SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1432H / 2010

PERUTUSAN MAAL HIJRAH 1432H / 2010

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

Saudara dan saudari sekalian

  1. Mendahului perutusan ini, kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah s.w.t kerana di atas taufik dan inayah-Nya dapat kita menyambut Maal Hijrah 1432H bersamaan 2010M pada tahun ini dalam suasana kesederhanaan dan penuh kerahmatan.
  2. Hari ini, seluruh umat Islam sedang memperingati peristiwa penghijrahan Rasulullah s.a.w. yang penuh barakah itu. Bagi kita, sambutan ini merupakan kesinambungan dalam memperingati dan menghayati perjuangan Rasulullah s.a.w. Peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w. dari Mekah ke Madinah adalah satu gerakan berstrategik melalui penjanaan daya kreativiti yang tinggi dilatari oleh tradisi keilmuan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t
  3. Sambutan Maal Hijrah di negara kita pada tahun ini bertemakan “1Malaysia, 1Ummah”. Tema ini bertepatan dengan semangat hijrah yang dirukuni oleh Rasulullah s.a.w. dalam melahirkan satu ummah yang berteraskan kepada nilai-nilai murni, berpaksikan keadilan sosial, prinsip penerimaan dan meraikan kemajmukan melalui kepelbagaian.
  4. Semangat Hijrah inilah yang telah kita terjemahkan dalam bentuk program transformasi negara. Sememangnya, kesederhanaan dengan erti kata seimbang dan terbaik telah menjadi kerangka rujuk kita membangunkan negara selama ini.
  5. Menelusuri sejarah kejayaan negara, Malaysia kini telah muncul sebagai sebuah negara membangun yang maju, berdaya saing serta progresif. Kejayaan ini adalah didasari kekuatan perpaduan 1Ummah yang berasaskan keunikan perpaduan antara kaum yang sedia ada.
  6. Lantaran itu, kita mestilah berusaha untuk sentiasa berhijrah bagi mencipta kejayaan dan inovasi baru yang memberi impak rahmat kepada ummah.
  7. Kita juga telah menyarankan pembentukan pergerakan kesederhanaan di peringkat global, hakikatnya kita telah merujuk kepada semangat dan saranan yang dijanai oleh ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Percayalah, Malaysia sentiasa konsisten dalam menerajui konsep kesederhanaan dan keamanan sejagat sejak lima dekad yang lalu.
  8. Selama ini, pelan penghijrahan ekonomi dan pembangunan negara telah membuktikan falsafah kesederhanaan dan keseimbangan ini adalah satu pencapaian hebat dan mesej dakwah Islamiah yang besar di tahap global. Ia telah memberi pengiktirafan kepada Malaysia sebagai peneraju pemikiran dalam pelbagai bidang yang signifikan kepada dunia Islam.
  9. Pengiktirafan ini merupakan pemangkin kepada kita agar terus istiqamah dalam menjayakan program transformasi bersepadu dalam menjana model baru ekonomi bagi mewujudkan sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Ianya seiring dengan komitmen kita untuk melokasi Malaysia sebagai ikon kemakmuran, keharmonian dan kesederhanaan yang multi etnik dan multi agama sifatnya.
  10. Sesungguhnya, kita telah memberikan komitmen tinggi dalam membawa pengertian hijrah kepada agenda transformasi berganda buat Malaysia. Ianya bukan sahaja digerakkan melalui bidang ekonomi, sosial serta politik, malah profil Malaysia di pentas sejagat juga diberikan suntikan transformasi bagi mengungguli teraju teladan kesederhanaan.
  11. Sekiranya kita dapat meneladani semua ini, maka ianya akan mencetuskan lonjakan rahmat yang juga turut berganda kepada rakyat sekaliannya. Sesuai dengan firman Allah di dalam surah al-An’am ayat enam yang bermaksud: “Sesiapa yang membawa amal kebaikan, maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) yang sama dengannya dan sesiapa yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun).”
  12. Mengakhiri perutusan, saya dan keluarga mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1432 kepada semua seluruh umat Islam Malaysia walau di mana jua berada dan raikanlah sambutan ini bersama rakan-rakan kita daripada pelbagai bangsa demi kekuatan “1Malaysia 1Ummah”.

Wabillahit-Taufiik wal-Hidayah, wassalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wabarakaatuh.

No comments:

Post a Comment