Monday, November 15, 2010

Bangsaku, Bangsamu dan ...

"Perjuangan yang Belum Selesai"

Sesungguhnya tidak ada yang lebih menyayat,
dari melihat bangsaku dijajah,
Tidak ada yang lebih menyedihkan,
dari membiarkan bangsaku dihina..
Air mata tiada ertinya,
Sejarah silam tiada maknanya,
sekiranya bangsa tercinta terpinggir,
dipersenda dan dilupakan..

Bukan kecil langkah wira bangsa,
Para pejuang kemerdekaan,
Bagi menegakkan kemuliaan dan darjat bangsa.
Selangkah bererti mengharung sejuta dugaan;
Biarkan Bertatih, asalkan langkah itu yakin dan cermat;
Bagi memastikan negara merdeka dan bangsa terpelihara.
Air mata sengsara mengiringi langkah bapa -
bapa kita Tugas kita bukan kecil,
kerana mengisi kemerdekaan,
rupanya lebih sukar dari bermandi keringat dan darah menuntutnya..
Lagi pula apalah ertinya kemerdekaan,
kalau bangsaku asyik mengia dan menidakkan,
menggangguk dan membenarkan kerana sekalipun bangganya kerana negara makmur dan mewahnya,
bangsaku masih melata dan meminta-minta di negara sendiri.
Bukan lecil tugas kita,
meneruskan perjuangan kemerdekaan kita,
kerana rupanya selain memerdekakan,
mengisi kemerdekaan itu jauh lebih sengsara.
Bangsaku bukan kecil hati dan jiwanya,
bukankah sejak zaman berzaman mereka,
pengembara malah penakluk terkemuka?
bukankah mereka mengembangkan sayap,
menjadi pedagang dan peniaga,
selain menjadi ulama dan ilmuan terbilang?
Bukankah bangsaku pernah mengharungi samudera,
menjajah dunia yang tidak kenal?
bukankah mereka pernah menjadi wira serantau,
yang tidak mengenal erti takut dan kematian?
Dimanakah silapnya,
Hingga bangsaku berasa begitu kecil dan merendah diri?
Apakah angkara penjajahan?
Lalu bangsaku mulai melupakan kegemilangan silam,
dan sejarah gemilang membina empayar.
Tugas kita belum selesai rupanya,
bagi memartabat dan memuliakan bangsa,
kerana hanya bangsa yang berjaya akan senantiasa dihormati.
Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita.
Bukan sekadar memerdeka dan mengisinya,
Tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan Buat selama-lamanya.
Hari ini, jalan ini pasti berliku,
kerana masa depan belum tentu menjanjikan syurga,
bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa.
Perjuangan kita belum selesai,
kerana hanya yang cekal dan tabah,
dapat membina mercu tanda bangsanya yang berjaya...

nukilan Tun Dr Mahathir Mohamad Malam Puisi Utusan ke-4, 11 Mei 1996

No comments:

Post a Comment