Thursday, May 27, 2010

AKIBAT MENINGGALKAN WASIAT RAJA MELAYU

Thursday, May 6, 2010
AKIBAT MENINGGALKAN WASIAT RAJA MELAYU
JATUH BANGUNNYA ZAMAN KEGEMILANGAN ACEH: RELEVANNYA UNTUK MALAYSIA

Karangan yang sederhana ini dipersembahkan sebagai 'back-up' kepada karangan bertajuk 'Forum: Model Ekonomi Baru' yang baru disiarkan sebagai sebuah kertaskerja dalam seminar anjuran PAKKU ( Persatuan Mantan Wakil Rakyat UMNO ). Tujuannya ialah untuk menggambarkan betapa pentingnya bangsa Melayu memberi perhatian kepada Wasiat Raja-Rajanya. Sementara Wasiat Sultan Aceh yang diketengahkan 503 tahun yang lalu telah menjadi pendorong yang menjadikan Aceh sebagai sebuah pusat tamaddun Islam di satu masa dulu kita dapati pula Wasiat Raja-Raja Melayu disampaikan 53 tahun yang lalu, dan menjadi inti kepada Perlembagaan Malaysia, telah menjamin kewujudan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan berbilang agama yang maju dan aman.

Sebagaimana juga penjajah dan budaya asing telah merosakkan sifat murni yang dipelupuri dalam Wasiat Sultan Aceh kita dapati Wasiat Raja-Raja Melayu juga sedang dicabar, dengan tercabarnya Perlembagaan Malaysia, oleh anasir-anasir luar.

Adalah diharapkan perbandingan ini dapat menimbulkan kesedaran yang berguna untuk bangsa dan negara kita.

21 WASIAT SULTAN ACEH - THE ACEH CODE

1. 26hb Mac, 2010 yang baru lalu ialah hari ulangtahun yang ke 137 tercetusnya serangan Belanda ke atas Aceh pada tahun 1873. Peperangan ini dinamakan 'The Aceh War' di mana ternyata, akhirnya, sebuah negeri Melayu di Asia telah mampu mengalahkan sebuah negara Barat sebelum kejadian kedua berlaku selepasnya, dengan kekalahan Rusia, sebagai sebuah negara Barat, di tangan China, dari Asia, dalam 'Manchurian War' pada tahun 1895-1904.

2. Sempena ulangtahun ke 137 Aceh War ini dua program telah dijayakan iaitu:

i. Aceh Development International Conference ( ADIC ) telah diadakan di Universiti Putra Malaysia ( UPM ) dan dianjurkan bersama oleh pelajar-pelajar dari Aceh, dari semua IPTA di Malaysia, Kelab Aceh Kuala Lumpur, Ikatan Masyarakat Aceh Malaysia ( IMAM ), dengan kerajasama UPM, dan ditaja bersama oleh Yayasan Warisan Pribumi, Kerajaan Negeri Melaka dan peniaga-peniaga keturunan Aceh di Malaysia.
Tujuan ADIC diadakan ialah untuk mengumpul dan membincangkan semua ide yang diketengahkan melalui lebih 80 buah kertas-kerja, yang datangnya dari peminat Aceh di seluruh dunia, yang merupakan sumbangan fakta dan intelektual untuk membangun semula Aceh.
ii. Pelancaran Perpustakaan Teungku Muhammad Dawud Beureueh dan Pusat Bahasa Arab dan Bahasa-Bahasa Asing ( Teungku Muhammad Dawud Beureueh and Center for Arabic and Foreign Languages - TMDL & CFA & FL ) di Banda Aceh. Pelancaran ini telah diadakan di Rumah Tamu Jeumpa D'Ramo di Jalan Maarof Kuala Lumpur dengan dihadiri oleh Wakil Gabenor Aceh, Walikota Banda Aceh, Wakil Partai-Partai Politik dari Aceh, Tokoh-tokoh Melayu keturunan Aceh di Kuala Lumpur, para dermawan dan akademik dari Arab. Rancangan penubuhan perpustakaan ini menjadi tanda pentingnya ilmu dan pendidikan untuk membangunkan semula bumi Aceh yang pernah di satu masa dulu menjadi antara 5 pusat tamaddun Islam di dunia. Perpustakaan ini akan menjadi sumber ilmu sementara bahasa-bahasa asing adalah kunci untuk masuk ke gudang ilmu dalam berbagai bahasa.

3. Kesedaran mengenai kejatuhan Aceh dari sebuah tamaddun Islam kepada negara yang terpaksa berperang untuk mendapat kembali haknya, sehingga ditimpa oleh bala Tsunami sebagai bala yang terbesar yang pernah dialami di dunia, sepanjang ingatan, maka keputusan telah diambil untuk memberi perhatian kepada bidang ilmu pengetahuan dengan mempopularkan budaya membaca atau 'budaya iqra'.

4. Walau bagaimana pun dengan ilmu sahaja tidak mungkin sesuatu bangsa boleh membangun walau pun tanpa ilmu peluang untuk membangun tidak ada sama sekali. Tentu ada fakta lain yang perlu digabungkan dengan ilmu untuk mencapai kejayaan.

5. Faktor itu adalah sikap.

6. Setelah dicari, di mana mampu, ternyata satu manuskrip dari kerajaan Islam Aceh Bandar Darussalam telah ditemui dalam arkib Universiti Kebangsaan Malaysia. Manuskrip ini merupakah 'Wasiat Sultan Aceh' kepada pemimpin-pemimpin Aceh pada 913 Hijriah pada tanggal 12 Rabi'ul Awwal hari Ahad bersamaan 23 Julai, 1507.

7. Beginilah transliterasi manuskrip dari kerajaan Islam Aceh Bandar Darussalam yang bertajuk:

KEWAJIBAN RAKYAT KERAJAAN ISLAM ACEH BANDAR DARUSSALAM:

Bismillahirrahmanirrahim,

Amma ba'du

Maka inilah pohon kerajaan Aceh Bandar Darussalam.

Mulai terdiri Kerajaan Aceh Bandar Darussalam iaitu pada tahun 913 Hijriah pada tanggal 12 Rabi'ul Awwal hari Ahad bersamaan 23 Julai, 1507;

Atas nama yang berbangsawan bangsa Aceh iaitu Paduka Seri Sultan Alauddin Johan Ali Ibrahim Mughayat Syah Johan Berdaulat.

Maka pohon kerajaan mulai tersusun oleh yang berbangsawan tersebut hingga sampai pada kerajaan puteranya yang kuat iaitu Paduka Seri Sultan Alauddin Mahmud Al-Qahhar Ali Riayat Syah:

Kemudian hingga sampai pada masa kerajaan cicitnya iaitu Raja yang lang-gemilang gagah perkasa yang masyhur al-mulaqaab Paduka Seri Sultan Al-Mukarram Sultan Alauddin Mahkota Alam Iskandar Muda Perkasa Alam Syah Johan Berdaulat Zilullah Fil Alam;

Iatiu telah ijmak keputusan sabda muafakat Kerajaan Aceh Bandar Darussalam beserta alim ulamak dan hulubalang dan menteri-menteri;

Iaitu telah ditetapkan dia dan telah difaftarkan dan iaitu dengan sahih sah dan muktamad dengan memberitahu dan diperintahkan dia dengan mengikut dan menurut menjalankan dan melaksanakan oleh seluruh pegawai-pegawai Kerajaan Aceh Bandar Darussalam dan jajahan takluknya iaitu diwajib difayahkan di atas seluruh rakyat Aceh Bandar Darussalam dan jajahan takluknya.

Bahawasanya kita semuanya satu negeri bernama Aceh dan berbangsa Aceh dan berbahasa Aceh dan kerajaan Aceh dan alam Aceh;

Yakni satu negeri satu bangsa dan satu kerajaan dan satu alam dan satu agama yakni Islam dengan mengikut syariah Nabi Muhammad SAW;

Atas jalan ahlu-Sunnah wal Jamaah dengan mengambil hukum daripada Qur'an dan Hadis dan qias dan ijmak ulamak ahlu-sunnah wal jamaah;

Dengan hukum dengan adat dengan resam dengan kanun iaitu syarak Allah dan syarak Rasullulllah dan syarak kami;

Bernaung di bawah Alam Merah Cap Peudeung lukisan warna putih yang berlindung di bawah panji-panji Syariat Nabi Muhammad SAW;

Dari dunia sampai ke akhirat dalam dunia ini sepanjang masa:

1. Pertama diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh yang lelaki lagi mukaallaf dan bukan gila iaitu hendaklah membawa senjata ke mana-mana pergi berjalan siang-malam iaitu pedang atau sikin panjang atau sekurang-kurangnya rincong tiap-tiap yang bernama senjata ( BERANI ) *

2. Kedua tiap-tiap rakyat mendirikan rumah atau masjid atau baleeh-baleeh atau meunasah maka pada tiap-tiap tihang di atas puting di bawah bara hendaklah di pakai kain merah dan putih sedikit yakni kain putih ( DISIPLIN / SETIA ) *

3. Ketiga diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh iaitu bertani utama lada dan barang sebagainya ( RAJIN ) *

4. Keempat diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh mengajar dan berlajar pandai emas dan pandai besi dan pandai tembaga beserta ukiran bunga-bungaan ( RAJIN ) *

5. Kelima diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh yang perempuan iaitu mengajar dan belajar membikin tepun (tenun) bikin kain sutera dan kain benang dan menjaid dan menyulam dan melukis bunga-bunga pada kain pakaian dan barang sebagainya ( RAJIN ) *

6. Keenam diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh belajar dan mengajar jual-beli dalam negeri dan luar negeri dengan bangsa asing ( RAJIN ) *

7. Ketujuh diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh belajar dan mengajar ilmu kebal ( BERANI ) *

8. Kedelapan diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh yang laki-laki mulai taklif syarak umur lima belas tahun belajar dan mengajar main senjata dengan pendekar silek dan barang sebagainya ( BERANI )*

9. Kesembilan diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh dengan wajib ain belajar dan megajar ilmu agama Islam syariah Nabi Muhammad SAW atas almariq ( berpakaian ) mazhab ahlu-sunnah wal jamaah r. ah ajmain ( DISIPLIN ) *

10. Kesepuluh diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh menjauhkan diri daripada belajar dan mengajar ilmu kaum tujuh puluh dua yang di luar ahli sunnah wal jamaah r. ah ajmain ( DISIPLIN ) *

11. Kesebelas sekalian hukum syarak yang dalam negeri Aceh diwajibkan memegang atas jalan Mazhab Imam Syafi'i r.a. di dalam sekalian hal ehwal hukum syarak syariat Nabi Muhammad SAW. Maka mazhab yang tiga itu apabila mudarat maka dibolehkan dengan cukup syartan ( syarat ). Maka dalam negeri Aceh yang sahih-sah muktamad memegang kepada Mazhab Syafi'i yang jadid ( DISIPLIN ) *

12. Keduabelas sekalian zakat dan fitrah di dalam negeri Aceh tidak boleh pindah dan tidak diambil untuk buat bikin masjid-masjid dan balee-balee dan meunasah-meunasah maka zakat dan fitrah itu hendaklah dibahagi lapan bahagian ada yang mustahak menerimanya masing-masing daerah pada tiap-tiap kampung maka janganlah sekali-kali tuan-tuan zalim merampas zakat dan fitrah hak milik yang mustahak dibahagi lapan. ( AMANAH / DISIPLIN ) *

13. Yang ketigabelas diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh membantu kerajaan berupa apa pun apabila fardhu sampai waktu datang meminta bantu ( DISIPLIN / SETIA ) *

14. Keempatbelas diwajibkan diatas sekalian rakyat Aceh belajar dan mengajar mengukir kayu-kayu dengan tulisan dan bunga-bungaan dan mencetak batu-batu dengan berapa banyak pasir dan tanah liat dan kapur dan air kulit dan tanah bata yang ditumbok serta batu-batu karang dihancur semuanya dan tanah diayak itulah adanya ( RAJIN ) *

15. Kelimabelas diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh belajar dan mengajar Indang Mas di mana-mana tempatnya dalam negeri ( RAJIN ) *

16. Keenambelas diwajibkan di atass sekalian rakyat Aceh memelihara ternakan seperti kerbau dan sapi dan kambing dan itik dan ayam tiap-tiap yang halal dalam syarak agama Islam yang ada memberi manfaaf pada umat manusia diambil ubat ( RAJIN ) *

17. Ketujuhbelas diwajibkan ke atas sekalian rakyat Aceh mengerjakan khanduri Maulud akan Nabi SAW, tiga bulan sepuluh hari waktunya supaya dapat menyambung silaturrahmi kampung dengan kampung datang mendatangi kunjung mengunjung ganti-berganti makan khanduri maulut ( AMANAH / SETIA ) *

18. Kedelapanbelas diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh bahawa hendaklah pada tiap-tiap tahun mengadakan Khaduri Laut iaitu di bawah perintah Amirul Bah yakni Panglima Laot ( SETIA ) *

19. Kesembilanbelas diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh mengerjakan Khanduri Blang pada tiap-tiap kampung dan mukim masing-masing di bawah perintah Penglima Meugoe dengan Kejrun Blang pada tiap-tiap tempat mereka itu ( AMANAH / SETIA ) *

20. Keduapuluh diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh bahawa tiap-tiap pakaian kain sutera atau benang atau payung dan barang sebagainya yang berupa warna kuning atau warna hijau tidak boleh memakainya kecuali yang boleh memakainya iaitu Kaum Bani Hasyim dan Bani Muthalib yakni sekalian syarif-syarif dan sayed-sayed yang turun menurun silsilahnya daripada Saidina Hasan dan Saidina Husin keduanya anak Saidatina Fatima Zahra Nisa' Al-Alamin alaihassalam binti Saidina Rasulullah Nabi Muhammad SAW; dan warna kuning dan warna hijau yang tersebut yang dibolehkan memakainya iaitu sekalian kaum keluarga ahli waris Kerajaan Aceh Sultan yang raja-raja dan kepada yang telah diberi izin oleh kerajaan dibolehkan memakainya; kepada siapapun ( DISIPLIN / SETIA )*

21. Keduapuluhsatu diwajibkan di atas sekalian rakyat Aceh bahawa jangan sekali-kali memakai perkataan yang hak kerajaan: Pertama titah kedua sabda ketiga Karunia keempat Nugerahi kelima Murka keenam Daulat ketujuh Seri Pada ( Paduka ) kedelapan Harap Mulia kesembilan Paduka Seri kesepuluh Singgahsana kesebelas Takhta keduabelas Duli Hadrat ketigabelas Syah Alam keempatbelas Seri Baginda kelimabesar Permaisuri keenambelas Ta ( DISIPLIN / SETIA ) *

Maka demikianlah sabda muafakat yang sahih-sah muktamad daripada Kerajaan Aceh Bandar Darussalam adanya.

Maka hendaklah menyampaikan sabda muafakat keputusan kerajaan kami oleh Hulubalang Menteri kami kepada sekalian rakyat kami ke seluruh Aceh iaitu daerah-daerah dan mukim-mukim dan kampung-kampung dan dusun-dusun timur dan barat tunong dan baruh kepada sekalian imam-imam dan kejrun-kejrun dan datuk-datuk dan kechik-kechik dan wakil-wakil dan sekalian orang yang tuha-tuha dan muda-muda dan sekalian orang yang ada jabatan masing-masing besar dan kecil menurut kadarnya dan ilmunya;

Iaitu mudah-mudahan insya Allah ta'ala dapat selamat bahagia sekalian umat manusia dalam negeri Aceh Bandar Darussalam khasnya dan Aceh jajahan takluk amnya iaitu siapa menjadi manusia yang baik dan berkelakuan yang baik serta tertib sopan majlis dan hormat mulia yang sempurna dengan berkat syafaat Nabi SAW supaya terpeliharalah bangsa kami Aceh dan negeri kami Aceh daripada mara dan bahaya dengan selamat sejahtera bahagia sepanjang masa dan jauh daripada lembah kehinaan dan kesusahan sepanjang hidup;

Supaya terpeliharalah negeri kami Aceh dan alam kami Aceh dan bangsa kami Aceh dengan usaha yang banyak supaya dapat mesra kesenangan bersama-sama iaitu antara rakyat dengan kerajaan dengan bersatu seperti nyawa dengan jasaad serta dengan taqwa dan tawakkal kepada Allah ta'alaa dengan menahan sabar daripada kepayahan maka tentu akhirnya insya Allah ta'ala dapat jadi kebajikan bersama-sama dengan saudara-saudara-saudara Islam yang dalam negeri Aceh dengan berkasih-kasihan dengan mengikut Syarak Allah dan Syarak Rasul dan Syarak Kerajaan.

Sanah 1272 Hijriah ( 1855 Masehi )

( PERHATIAN: Tiap satu dari 21 Wasiat di atas bertujuan untuk memupuk sikap AMANAH, BERANI, RAJIN, DISIPLIN DAN SETIA di kalangan rakyat Aceh - lihat tujuannya dalam kurungan selepas tiap satu wasiat )

Maka sesudah habis mendengar khabar maka ulamak telah bertanya apakah padahnya jika wasiat itu diabaikan. Maka menangislah Seri Baginda Sultan sebab kerana sayangnya kepada umat manusia pada masa akan datang serta Seri Baginda dalam tangisannya mengucap sabda dengan kata syair yang amat dalam maksudnya lagi nasihat yang sangat baik tujuannya dan amat luas maknanya, iaitu inilah bunyinya syair nazamnya:

Bismillahirrahmanirrahim

Jituka alim dengan jahil;
Jituka adee dengan inaya
Jituka murah dengan bakhil;
Cita akan zahir bak raja-raja

Ditukar alim dengan jahil;
Ditukar adil dengan aniaya
Ditukar marah dengan bakhil;
Cita akan zahir pada raja-raja


Jituka taat dengan maksiat;
Jiboh aniek mit keu ureung tuha
Jituka yang la jimita yang mit;
Tamsee aneuk mit yang tuha-tuha

Ditukar taat dengan maksiat;
Diletak anak kecil tempat orang tua
Ditukar yang banyak dicari yang sedikit;
Tamsil anak kecil yang tua-tua

Jituka iman jitung murtad;
Asai na pangkaat megah ngon kaya
Jituka yang trang jitung yang seupot;
Jitem meureubot tuwo keu desya

Ditukar iman dicari murtad;
Asal ada pangkat megah dengan kaya
Ditukar yang terang dicari yang gelap;
Mau berebut lupa akan dosa

Jituka makmu jitem tung deuk troe;
Ureng yang bako tekala wala
Jituka senang jitem tung susah;
Peuget fitnah meuseunoh kadar

Ditukar makmur dengan kelaparaan;
Orang baik-baik disingkirkan
Ditukar yang senang mahu ambil yang susah;
Membuat fitnah berebut kuasa

Jituka megah jitung hinaan;
Inong ngon agam male jih hana
Jituka luwah jitem tung picek;
Tanda mubaligh keurajeun raja

Ditukar megah dengan kehinaan;
Wanita dan lelaki rasa malu sudah tiada
Ditukar kelapangan dengan kesempitan;
Tanda mubaligh kerajaan raja

Jituka qanaah jitem lubha;
Alamat tanda akai tan lisik
Jituka sihat jitung peunyaket;
Jitem meusaket dengan hareuta

Ditukar qanaah dengan luba;
Alamat tanda akal tak cerdik
Ditukar sihat dengan penyakit;
Mahu bersakit-sakit demi harta

Jituka aman jitem tung kacho;
Nibak bala pebala dengan saudara
Ouh akhee nanggroe lee that ban macam;
Saboh yang asai saboh yang hana

Ditukar aman dengan kekacauan;
Suka mengadu domba sesama saudara
Di akhir zaman negeri lahir macam masalah;
Satu yang kekal satu lagi akan tiada

Dalam syuruga hideh yang asai;
Penolong Tuhan keu mukmin dumna
Yang dalam donya sinoe tan asai;
Meunajih badan meu ubah rupa

Dalam syurga di situlah yang kekal;
Penolong Tuhan untuk mukmin semua
Yang dalam dunia ini tiada yang kekal;
Mengotorkan badan merubah rupa


KESIMPULAN

Lantaran patuhnya rakyat Aceh kepada wasiat di atas maka Aceh di bawah pemerintahan Sultan-Sultan berikutnya, samada Sultan itu lelaki atau perempuan, telah melalui zaman yang paling gemilang sehingga Aceh pernah menjadi pusat tamaddun Islam di Nusantara. Walau bagaimana pun sedikit demi sedikit, kerana lalai dengan kemewahan dan kegemilangannya, apatahlagi dengan pengaruh penjajah, rakyat Aceh telah terlupa kepada wasiat ini. Kerana terlupa kepada mesej wasiat inilah maka Aceh kini bukan tidak lagi menjadi pusat tamaddun Islam.

Proses atau trend hakisan tiupan semangat dari Wasiat Sultan Aceh ini telah berlaku mengikut penemuan kajian oleh seorang professor sejarah dari Universiti Edinburgh di Scotland, yang bernama Professor Alexander Frazer Tytler, sekitar tahun 1776, seperti berikut:

'Demokrasi itu selalunya bersifat sementara; ia tidak boleh wujud sebagai satu bentuk kerajaan yang kekal. Demokrasi itu akan terus wujud sehingga tiba masanya pengundi mendapati mereka boleh mengundi untuk diri mereka sendiri hadiah yang mewah dari perbendahaan. Pada saat itu, majoriti akan memilih calon yang menjanjikan keuntungan terbesar dari perbendahaan awam, sehingga setiap demokrasi akhirnya akan runtuh kerana dasar kewangan yang longgar, yang selalu disusuli oleh pemerintahan diktaror.'

Purata umur tamaddun besar di dunia, sejak bermulanya sejarah, ialah sekitar 200 tahun. Dalam masa 200 tahun negara-negara ini maju mengikut urutan:

From bondage to spiritual faith;
( Dari perhambaan timbul semangat keagamaan )

From spiritual faith to great courage;
( Kerana semangat ugama muncul keberanian )

From courage to liberty;
( Dari keberanian datanglah kebebasan )

From liberty to abundance;
( Dati kebebasan datang kemewahan )

From abundance to complancency;
( Dari kemewahan datang kepuasan )

From complacency to apathy;
( Dari kepuasan datang sikap tidak peduli )

From apathy to dependence;
( Dari sikap tidak peduli datang sikap bergantung kepada orang lain )

From dependence back into bondage;
( Dari sikap bergantung kepada orang lain akhirnya kembali menjadi hamba )

Malaysia yang dipimpin oleh Melayu dari UMNO belum merupakan sebuah tamaddun yang besar dan tidak memerlukan 200 tahun untuk hancur.

UMNO yang berumur 60 tahun dan memerintah selama 53 tahun susdah cukup lama untuk mengalami berbagai tahap dan perkembangan dari keadaan terjajah ( perhambaan ) kepada dijajah semula ( back to bondage again ) jika UMNO tidak membuat perubahan.

( Huraian mengenai penulisan Profesor Alexander Frazer Tytler di atas boleh di dapati dalam blog ini di bawah tajuk MENYONGSONG FAJAR BARU MALAYSIA para 48 hingga 52 )

Walau apa jua perubahan bangsa Melayu hendaklah merujuk dan berpandukan kepada wasiat yang diwarisi kerana wasiat-wasiat itu terbukti sudah berjaya.

Wasiat Sultan Aceh ini telah ditemui dalam arkib Universiti Kebangsaan Malaysia apabila pelajar-pelajar Aceh yang berada di Malaysia mencari punca kegemilangan masa silam Aceh, selepas bencana Tsunami melanda Aceh.

Bagi kita yang berada di Malaysia Wasiat Raja-Raja Melayu yang telah diketengahkan dalam blog ini dalam terbitan yang lalu hendaklah dipertahankan jika Bangsa Melayu ingin selamat.

Jika Wasiat Sultan Melayu Aceh yang dilupakan itu sudah diberi sejak 503 tahun yang lalu tidak patutlah Wasiat Raja-Raja Melayu Malaysia yang berusia hanya 53 tahun dilupakan dalam masa yang begitu cepat.

Sifat-sifat AMANAH, BERANI, DISIPLIN, RAJIN DAN SETIA yang merupakan sifat-sifat yang ingin diasahkan oleh Sultan Aceh dengan wasiatnya pada tahun 1507 adalah juga sifat-sifat yang perlu ada pada pemimpin dan rakyat Melayu, di semua peringkat, jika mereka ingin menjadi tuan di dalam negara pusakanya.

Model, dasar, polisi, program atau apa jua nama yang diberi kepada pendekatan ekonomi untuk Malaysia hanya akan mencapai matlamat jika pelaksanaannya di semua peringkat mempunyai nilai-nilai tersebut di atas.

Jika tidak, bangsa kita akan dipandang hina oleh yang bukan kita, sebagaimana komen dari yang bukan kita, yang boleh dibaca dalam isi blog bertajuk 'Forum Model Ekonomi Baru'. Kita tidak patut marah kepada mereka sebaliknya komen mereka patut menimbulkan kesedaran, keinsafan dan membangkitkan semangat kita untuk berubah secara positif.

COPYRIGHT BLOG SANUSI JUNID BLOGSPOT.COM

No comments:

Post a Comment