Sememangnya diketahui zaman jahiliyah di Mekah wanita-wanita masih belum sempurna menutup aurat dan ramai yang keluar rumah untuk menarik perhatian kaum lelaki. Begitu juga zaman jahiliyah di Malaysia, seperti zaman P Ramlee dulu contohnya, waktu itu masih dikira zaman jahiliyah di Malaysia ini kerana masih ramai yang tidak faham dan tidak mendapat pengajaran agama yang secukupnya kerana banyak faktor.
Tetapi sangat berbeza sekali di zaman moden hari ini yang mempunyai pelbagai saluran media untuk mengetahui tentang Islam yang sebenar. Tetapi semakin banyak saluran media untuk menyebarkan maklumat nampaknya semakin jahil jadinya umat kita, na’uzubillah. Maka kita lihatlah sekarang semakin ramai wanita yang mempermudah-mudahkan hal berkenaan aurat sehinggakan pernah suatu masa dahulu , SIS (Sisters In Islam) di dalam satu sessi dialog berkenaan Islam Liberal mengatakan “pakaian taqwa itu adalah lebih baik dari menutup aurat”, sehingga meremehkan soal memakai tudung kepala.
Mungkin mereka berdasarkan kepada ayat ini, “Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu dan pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah dari tanda-tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmatNya kepada hamba-hambaNya) supaya mereka mengenangnya (dan bersyukur).” Surah Al-A’raaf : Ayat 26
Dan ramai wanita memberikan alasan seperti “don’t judge a book by its cover”. Tetapi sila tanya mereka kembali, jika kamu nampak sebiji buah nangka yang buruk membusuk, adakah kamu masih mahu memakannya?
Ya sememangnya nampak bagus alasan yang diberikan oleh SIS di atas, kerana ada juga hadith yang bermaksud bahawa Allah tidak memandang pada paras rupa tetapi pada taqwa. Tetapi sedarkah kita bahawa kita telah cuba mengubah atau mencabut hukum yang diperintahkan oleh Allah sendiri iaitu wajib menutup aurat bagi wanita? Menutup aurat dan taqwa adalah dua entiti yang tidak dapat dipisahkan, kerana menutup aurat itu adalah tanda manusia itu bertaqwa , walaupun bukan semua orang yang menutup aurat itu bertaqwa. Bagaimana mahu dikatakan taqwa sedangkan hukum menutup aurat yang wajib itu senang-senang dilanggar dan diperlekehkan? SIS mesti faham dan rujuk semula apa erti sebenar taqwa.
Yang wajib tetap wajib, ianya tidak boleh dipersoalkan lagi. Hukum dalam Islam tidak boleh diubah-ubah apabila ianya telah nyata / muhkam. Semoga kita tidak menjadi seperti umat Yahudi dan Nasrani dulu yang suka mengubah-ngubah Hukum dalam agama mereka mengikut selera dan keadaan semasa mereka.
Di dalam kitab Bible / AlKitab yang diimani oleh umat Kristian pun ada memerintahkan agar menutup aurat dengan betul termasuk menutup kepala. Dalilnya adalah seperti di bawah;
[1 Kor 11:5] Tetapi tiap-tiap perempuan yang berdoa atau bernubuat dengan kepala yang tidak bertudung, menghina kepalanya, sebab ia sama dengan perempuan yang dicukur rambutnya.
[1 Kor 11:6] Sebab jika perempuan tidak mau menudungi kepalanya, maka haruslah ia juga menggunting rambutnya. Tetapi jika bagi perempuan adalah penghinaan, bahawa rambutnya digunting atau dicukur, maka haruslah ia menudungi kepalanya.
[1 Kor 11:10] Sebab itu, perempuan harus memakai tanda wibawa di kepalanya oleh karena para malaikat.
[1 Kor 11:13] Pertimbangkanlah sendiri: Patutkah perempuan berdoa kepada Allah dengan kepala yang tidak bertudung?
Maka adakah kita umat Islam mahu menjadi seperti umat Kristian itu juga yang sekarang ini sudah tidak menutup kepala lagi melainkan biarawati-biarawati mereka sahaja? Jika hal ini tidak diambil berat dan dipandang ringan, maka tidak mustahil suatu masa nanti umat Islam sudah tidak dikenali dan aurat sudah tidak terjaga lagi. Jika wanita Islam juga tidak mahu memakai tudung kepala dan menutup aurat dengan betul, maka apa bezanya rupa luaran antara wanita Islam dengan wanita Kristian? Sedangkan dalam masalah janggut dan misai pun Nabi Muhammad suruh agar bezakan dengan umat Yahudi, ini kan pula soal aurat wanita yang boleh menggoyang iman seorang lelaki.
Dan banyak lagi jarum-jarum halus yang ditusuk ke dada umat Islam seperti mengatakan bahawa memakai jilbab bagi wanita itu dapat menghalang kemajuan, membataskan produktiviti, merimaskan dan camam-camam lagi.
Sila baca juga tajuk Mengapa hanya biarawati sahaja yang menutup aurat dengan betul dalam Kristian sedangkan orang awam tidak
..
Dalil-dalil bahawa menutup aurat itu wajib
Seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali dua tapak tangan dan wajahnya sahaja yang boleh ditunjukkan kepada lelaki ajnabi / asing.
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” Surah Al-Ahzab : ayat 59
“Dan katakanlah kepada perempuan -perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau anak-anak mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tiadk berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.” Surah An-Nur : ayat 31
Yang di maksud “wa laa yubdiina ziinatahunnaa” (janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka), adalah “wa laa yubdiina mahalla ziinatahinnaa”, maksudnya janganlah mereka menampakkan tempat-tempat (anggota tubuh) yang di situ dikenakan perhiasan. [Lihat Abu Bakar Al-Jashshash, Ahkamul Qur`an, Juz III hal.316].
Selanjutnya, kalimah “illa maa zhahara minhaa” [kecuali yang (biasa) nampak darinya], ini bermaksud, ada anggota tubuh yang boleh dinampakkan iaitu wajah dan kedua telapak tangan. Demikianlah pendapat sebahagian sahabat, seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan juga Aisyah [Al-Albani, 2001:66].
Ibnu Jarir Ath-Thabari (wafat 310H) menjelaskan dalam kitab tafsirnya, Jami Al-Bayan fi Tafsir Al-Qur`an Juz XVIII ms 84, mengenai apa yang di maksud “kecuali yang (biasa) nampak darinya (illaa maa zhahara minha)”, katanya, pendapat yang paling mendekati kebenaran adalah yang mengatakan bahawa, yang dimaksudkan (dalam ayat di atas) adalah wajah dan dua telapak tangan.
Pendapat yang sama dinyatakan Imam Al-Qurthubi dalam kitab tafsirnya Al-Jamia li Ahkam Al-Qur’an, Juz XII hal. 229 [Al-Albani, 2001:50 & 57]. Jadi, apa yang biasa nampak darinya adalah wajah dan dua telapak tangan sebab kedua anggota tubuh inilah yang biasa nampak dari kalangan Muslimah di hadapan Nabi Sallalahu alaihi wa Sallam sedangkan baginda mendiamkannya. Kedua anggota tubuh ini pula yang nampak dalam ibadah-ibadah seperti haji dan solat dan biasa terlihat di masa Rasulullah iaitu di masa masih turunnya ayat Al Qur`an [An-Nabhani, 1990:45].
Nabi juga bersabda yang maksudnya, “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” Hadith Riwayat Abu Dawud
“Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah “- Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.
..
Wanita yang tidak menutup aurat mengundang banyak masalah dan dosa serta mendapat siksaan yang keras
Biasanya ada wanita yang memandang remeh isu memakai tudung dan menutup aurat dengan betul, kerana baginya ianya bukan satu jenayah. Ianya bukan satu kejahatan yang menyusahkan dan berlaku zalim pada orang lain, kata mereka. Tetapi ingatlah, nabi sendiri sudah berpesan bahawa wanita itu adalah satu fitnah bagi lelaki.
“Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita” Hadith Riwayat Bukhari
Di dalam peristiwa Mi’raj Rasulullah ke langit, baginda telah melihat gambaran hukuman yang dikenakan ke atas wanita yang tidak menjaga aurat ini. Ada wanita yang menangis-nangis meminta pertolongan tetapi tiada siapa yang membantunya - ini lah hukuman bagi wanita yang berhias untuk selain suaminya. Dan ada wanita yang tergantung dirinya pada rambutnya, otaknya menggelegak dalam periuk yang panas – inilah hukuman kepada wanita yang tidak menutup aurat termasuk rambutnya. Ada juga wanita yang mukanya HITAM dan MEMAMAH isi perutnya sendiri – inilah hukuman terhadap wanita yang menggoda dan mengghairahkan lelaki.
Aurat wanita merupakan antara bahaya tersembunyi yang boleh MEROSAKKAN IMAN kaum lelaki secara halus, (hinggakan pak-pak Imam pun boleh jatuh tersungkur). Akibat dari wanita-wanita seksi dan tidak menutup aurat dengan betul lah maka wanita-wanita yang menutup aurat pun menjadi mangsa, kerana lelaki boleh membayangkan tubuh wanita hasil dari yang ditengok dari wanita-wanita seksi terutamanya yang menampakkan bentuk tubuh sebelum itu.
Sebab itu pernikahan betul-betul dianjurkan dalam Islam, iaitu untuk mengelakkan berlaku sumbang perbuatan terhadap kaum wanita. Kerana itu lelaki-lelaki yang belum kahwin akan terjejas juga bila melihat wanita-wanita seksi yang mendedahkan bahagian-bahagian tubuhnya. Ketahuilah, walaupun sedikit didedahkan, nafsu lelaki amat kuat magnetnya apa lagi jika wanita itu gebu, cantik dan seumpamanya.
Akibat selalu tertekan dengan melihat keadaan wanita seksi di mana-mana, maka lelaki-lelaki terutama yang lemah imannya dan yang belum lagi berkahwin akan mudah terjerumus untuk melakukan perbuatan keji. Sehinggakan kepada wanita-wanita bertudung pun jadi mangsa kerana wanita-wanita itu mudah untuk dimakan oleh pemangsa yang telah dibrainwash secara tidak sedar oleh wanita-wanita yang tidak menjaga auratnya. Saya pernah tulis panjang lebar tentang hal aurat wanita ini dalam tulisan saya yang lepas.
Saya pun hairan, kerajaan tidak mengambil berat tentang wanita-wanita Muslim yang tidak menutup aurat dengan sebetulnya. Dalam Islam, jika seseorang wanita itu tidak menutup aurat di khalayak ramai, wanita itu boleh dihukum. Takut bunyi nya kan? Tetapi itulah yang terbaik dilakukan untuk mengelakkan terjadi kes ROGOL, ZINA, ANAK LUAR NIKAH, BUANG BAYI dan sebagainya. Sebelum terlambat, MENCEGAH ADALAH LEBIH BAIK DARI MERAWAT.
Wanita-wanita yang tidak menutup aurat dengan betul juga akan mendapat siksaan keras dan ada amaran bahawa mereka tidak akan memasuki syurga, na’uzubillah.
“Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (l) Kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam); (2) Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” Hadith Riwayat Muslim
“Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya” – Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
Dan ada satu lagi yang biasanya dilupakan dan terabai, iaitu berkenaan SUARA WANITA. Ini kerana biasanya wanita sangat suka memanja-manjakan suaranya dengan lelaki yang bukan muhrim yang mana ianya boleh merangsang nafsu seorang lelaki walaupun sedikit. Suara wanita bukanlah semuanya aurat, tetapi ia juga termasuk dalam aurat jika sekiranya berkata-kata dalam nada yang manja dan dapat merangsang nafsu syahwat lelaki, dan dalilnya adalah berdasarkan kepada firman Allah yang bermaksud , “Janganlah perempuan-perempuan itu berlaku lemah dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam hatinya ada penyakit, dan ucapkanlah perkataan yang baik.” Surah al-Ahzab : 32
Maka para wanita perlu lebih berhati-hati dalam berkata-kata terutamanya dengan lelaki ajnabi. Bukan sahaja perlu berhati-hati dari mengumpat / menggossip, dan berkata-kata perkara buruk lain, tetapi juga berhati-hati agar tidak menjadi terlalu mendayu-dayu dan lemah-gemalai sehingga dapat merasangkan nafsu syahwat lelaki ajnabi secara tidak disedari.
..
Bacaan yang lebih bagus lagi dalam tulisan Ustaz Zaharuddin dalam topik Aurat : Apa sudah jadi?
..
Walaupun tulisan ini membicarakan tentang aurat kaum wanita, tetapi kaum lelaki jangan lah pula lupa bahawa kita juga ada aurat yang wajib ditutupi iaitu dari pusat hinggalah ke bahagian lutut. Dan wajib diingat bahawa ianya juga termasuklah jika seorang lelaki itu memakai seluar ketat yang menampakkan bentuk anggota bahagian antara pusat dan lutut itu. Ini yang biasanya kurang diambil berat dan diabaikan oleh ramai lelaki.
Sememangnya jika semua wanita menutup dan menjaga auratnya dengan baik maka akan wujudlah suasana yang aman dan jauh dari zina dan rogol insyaAllah. Tanggungjawab menjaga dan menutup aurat adalah tanggungjawab semua wanita, maka jika sebahagian wanita TIDAK MENUTUP aurat, maka kemungkinan besar juga wanita lain yang akan menjadi mangsa jenayah nanti. Ini kerana jika suatu BALA datang, ia tidak mengenal manusia baik atau jahat, semua akan menanggungnya. Maka sama-sama lah kita insafi dan cuba sedaya upaya untuk melaksanakan perintah Tuhan ini .
Dan semoga para wanita dan lelaki menutup aurat dengan ikhlas dan kerana Allah, bukannya kerana takut dan malu kepada manusia semata-mata. Dan berhati-hatilah juga dengan Tabarruj yang berlebihan yang boleh dibincangkan dalam topik lain pula. Jika anda masih belum mengetahui apa itu Tabarruj, sila lah mencarinya di laman-laman web yang sepatutnya. Wallahu a’lam
No comments:
Post a Comment