Sunday, October 18, 2009

Sosiologi Pendidikan Islam Peranan Keluarga Dalam Pendidikan

Pengenalan

Keluarga merupakan satu institusi sosial yang wujud hasil dari perhubungan biologi antara lelaki dengan perempuan yang disahkan oleh masyarakat. Keluarga merupakan institusi sosial yang paling asas yang terdiri daripada ibu dan bapa.

keluarga mempunyai peranan penting dalam perkembangan dan pembentukan sikap anak-anak apabila anak-anak dibentuk dengan asas didikan yang baik ia akan membesar dgn nilai-nilai yang positif dalam diri. Namun sekiranya mereka dibiarkan tanpa kasih sayang dan didikan yang sempurna ia akan membentuk sikap negatif dalam diri mereka.

Anak-anak diibaratkan seperti kain putih yang bersih ibu bapalah yang akan mencorakkanya sama ada menjadi insan berakhlak mulia atau sebaliknya.


Definisi keluarga

Menurut Kamus Dewan (2005), keluarga bemaksud saudara mara, sanak saudara dan kaum kerabat. Ia juga didefinisikan sebagai sekalian orang yang mempunyai keturunan antara satu sama lain yang terdiri dari suami, isteri, anak serta keluarga angkat.

Dengan kata lain, sebuah keluarga adalah terdiri daripada suami/bapa, isteri/ibu dan anak-anak/adik beradik yang mempunyai pertalian darah, perkahwinan (musoharah) atau angkat.

Keluarga Menurut Perspektif Islam

Menurut perspektif Islam, keluarga dibina melalui ikatan perkahwinan yang sah dari segi syarak seperti firman Allah yang bermaksud:

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari keluarga kamu dan orang soleh dari hamba-hamba kamu lelaki dan perempuan, jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dan limpah kurnianya kerana Allah Maha Luas lagi Maha Mengetahui.
(Surah al-Nur: 32)

Menurut Abd. Rahman Al-Nahlawi (1995), yang dimaksudkan dengan keluarga muslim adalah keluarga yang mendasarkan aktiviti kepada pembentukan keluarga yang sesuai dengan syariat Islam. Menurut beliau tujuan terpenting pembentukan keluarga adalah seperti berikut:

1. Mendirikan syariat Allah.

Rumahtangga yang dibina hendaklah mengamalkan budaya hidup Islam dan jika timbul sebarang permasalahan hendaklah ditangani dengan cara yang dianjurkan oleh Islam dalam semua aspek yang berkaitan dengan rumahtangga. Dengan kata lain tujuan berkeluarga adalah mendirikan rumahtangga yang bercirikan kepada perhambaan kepada Allah.

2. Mewujudkan ketenangan jiwa

Maksud firman Allah di dalam Al-Quran :

Dan di antara tanda-tanda kebesaranNya ialah Dia menciptakan isteri bagi kamu dari diri kamu sendiri dan agar kamu merasa senang kepadanya.
(surah al-Rum : 21)

Jika suami dan isteri bersatu di atas landasan kasih sayang dan ketenteraman, jiwa yang interaktif akan membentuk suasana gembira dalam keluarga. Ini akan memberi kesan kepada perkembangan anak-anak dan dapat menjauhkan anak-anak dari penyakit batin.

3. Memenuhi keperluan kasih sayang anak-anak.

Naluri menyayangi anak merupakan suatu potensi atau anugerah yang diciptakan oleh Allah semasa penciptaan manusia pertama iaitu Nabi Adam. Keluarga terutama ibu bapa bertanggungjawab memberikan kasih sayang kepada anak-anak.


Pertentangan Antara Keluarga Islam Dan Barat

Pasangan yang bersekedudukan tanpa berkahwin walaupun mempunyai anak tidak boleh dianggap sebagai keluarga menurut pandangan Islam ini kerana pembentukan keluarga mestilah diasaskan kepada hubungan perkahwinan yang diakui sah oleh agama, masyarakat atau budaya tempat seseorang itu tinggal. Walau bagaimanapun orang Barat menerima keluarga jenis ini dan menganggapnya sebagai sesuatu yang sah dari segi moral masyarakat.

Dasar keluarga Negara

“Negara Malaysia yang telah dibina sejak sekian lama adalah Negara yang dibina berteraskan kerukunan dan kekukuhan institusi keluarga. Kerukunan dan keteguhan institusi keluarga di kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini sentiasa dipupuk kerana kerajaan negara ini percaya keharmonian dan kekuatan akan terhasil bilamana institusi keluarga di negara ini kukuh dan sejahtera......”


Berdasarkan kepada petikan Dasar Keluarga Negara di atas menunjukkan bahawa negara kita Malaysia juga melihat institusi keluarga sebagai salah satu institusi utama yang menyumbang kepada kemajuan sesebuah negara. Ini kerana dari sebuah keluargalah lahirnya individu yang akan berkhidmat kepada negara, Jika individu tersebut berkhidmat dengan amanah maka negara akan mencapai kemajuan dan keharmonian dan jika sebaliknya negara akan menjadi porak peranda.

Justeru itu pelbagai usaha yang telah dan akan dilakukan oleh kerajaan dalam usaha membantu ibu bapa memupuk dan melahirkan individu yang berhemah dan berketrampilan. Antara usaha kerajaan yang dapat kita lihat sekarang ialah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Bermatlamatkan semangat cintakan negara diharapkan dapat melahirkan individu yang berketrampilan yang terhindar dari sebarang tingkah laku sosial yang tidak baik.

Jenis keluarga:

1. keluarga Asas:
keluarga asas juga sebut sebagai keluarga nuklear, primer dan conjugal. Keluarga asas adalah keluarga yang terdiri daripada seorang suami bersama seorang isteri dan anak sendiri/angkat. Keluarga jenis ini adalah jenis keluarga yang paling ramai terdapat di Negara kita. Berikut adalah gambarajah yang menerangkan tentang keluarga asas.

2. Keluarga Orientasi dan prokreasi

- Keluarga yang berkahwin dan beranak sebenarnya menganggotai dua jenis keluarga asas pada satu masa. Keterangan lanjut sebagaimana berikut:

KeluargaOrientasi
Keluarga prokreasi


3. Keluarga induk-tunggal

Merupakan variasi keluarga asas (single-parent family). Dalam keluarga asas sebegini hanya terdapat sama ada ibu atau bapa dengan anak atau anak-anaknya. Dalam kes suami isteri bercerai mereka masih lagi menjalinkan hubungan antara isteri/suami dengan anaknya.

4. Keluarga gabungan

Keluarga gabungan terbahagi kepada tiga jenis berikut:
i) Keluarga gabungan
ii) Keluarga gabungan Flaternal
iii) Keluarga Gabungan Sororal

5. Keluarga luas/besar

Peranan keluarga Islam

1. Peranan keluarga dalam pembinaan fikrah agama

Sebagaimana yang diketahui bahawa dalam rumahtangga hubungan lelaki dan wanita adalah melalui hubungan atau perkahwinan yang sah menurut ajaran Islam. Dalam rumahtanggalah sepasang suami isteri memadu kasih secara suci yang diredai Allah. Kebahagiaan hakiki dan sejati didapati dalam kehidupan bersama yang diikat oleh pegangan agama. Kehidupan kekeluargaan yang mengamalkan cara hidup Al-Quran dan Sunnah Rasulullah yang bermula dari sekecil-kecil perkara hinggalah yang sebesar-besarnya.

Dalam rumahtanggalah mula-mula diterapkan ajaran agama. Penerapan nilai-nilai agama berlaku bermula dari suami, isteri dan kemudian kepada anak-anak. Bapa sebagai orang yang bertanggungjawab ke atas rumahtangga harus memahami dan mengamalkan ajaran agamanya, kerana suami adalah pemimpin kepada isterinya dalam semua aspek kehidupan.

Selain bapa, ibu juga merupakan pengemudi rumahtangga dan pendidik anak-anak. Oleh sebab itu ibu harus juga memahami ajaran agama Islam dan mengamalkannya. Kalau ibu bapa tidak mengetahui ajaran agama Islam dan tidak pula mengamalkannya maka ada harapan mereka tidak akan dapat membina fikrah agama dalam diri anak-anak mereka. Oleh sebab itu ibubapa perlu melengkapkan diri dengan ilmu sebelum menempuh alam rumahtangga.

Pembinaan fikrah agama anak-anak hendaklah dimulai semenjak anak dalam kandungan iaitu masa perkembangan anak sebelum lahir dan masih berada dalam kandungan seorang ibu. Masa ini bermula apabila berlakunya pertemuan antara sperma dengan ovum. Proses ini berkembang sampai anak itu lahir ke dunia yang memakan waktu lebih kurang 9 bulan.

Setelah seseorang mulai hamil, maka bapa haruslah menyuruh si ibu agar sering membaca Al-Quran, selalu ingat dan berdoa kepada Allah. Ibu yang sentiasa mengingati Allah akan membentuk jiwa yang tenteram dan suci. Jiwa ibu yang tenteram semasa dia hamil besar pengaruhnya kepada pembentukan fikrah bayi yang bakal lahir. Bayi akan hidup berbekalkan ideologi yang terbentuk dalam fikrahnya. Bekalan ini akan dibawa sehinggalah bayi ini menjadi dewasa.

Langkah pembinaan fikrah agama sebagaimana yang telah digariskan oleh Islam adalah sebagaimana berikut;

1. Anak yang baru lahir kalau ia lelaki hendaklah diazankan di telinga kanannya dan kalau ia perempuan diiqamatkan di telinga kiri.

Sabda Rasulullah yang bermaksud:

Dari Husain Bin Ali telah berkata Rasulullah s.a.w: barangsiapa yang lahir anaknya maka azan ia pada telinga kanan anak itu dan iqamat ia ditelinga kiri anak itu, anak itu tidak dimudaratkan oleh Ummu Sibyan (Sejenis Jin yang membawa penyakit).
(Hadis Riwayat Al-Baihaqi )

2. Mendoakan anak itu agar menjadi anak yang patuh dan taat kepada Allah
3. mendoakan kepada Allah agar terhindar dari segala gangguan dan godaan syaitan.
4. melakukan akikah setelah anak berumur tujuh tahun.

Sabda Rasulullah yang bermaksud:

Setiap anak yang baru lahir menjadi gadaian sampai di sembelihkan baginya akikah pada hari yang ketujuh dan di hari itu juga hendaklah dicukur rambutnya dan diberi nama.

(Diriwayatkan oleh Abu Daud)

5. mengkhatankannya untuk memastikan kebersihannya sentiasa terjaga.
6. menyuruh anak-anak mengerjakan solat kalau sudah berumur tujuh tahun dan memukulnya kalau ia tidak mahu solat bila sudah berumur 10 tahun.

Sabda Nabi yang bermaksud:

Perintahkanlah anak-anakmu mendirikan solat sewaktu mereka berumur 7 tahun dan pukullah mereka bila mereka tidak mengerjakannya sewaktu mereka berumur 10 tahun dan pisahkanlah tempat tidur antara mereka.

(Hadis Riwayatkan Oleh Abu Daud )

7. Setelah timbul rasa pekanya, ibubapa hendaklah menghantar anak-anak mereka ke sekolah untuk mengasah kecerdasan otak dan mengisi hatinya dengan keimanan agar anak tersebut menjadi hamba Allah yang patuh.
8. Disamping perintah bagi anak-anak dalam mengamalkan ajaran Islam, ibu bapa sendiri juga hendaklah mengamalkan ajaran Islam dalam rumahtangga.

2. Peranan keluarga dalam pendidikan emosi anak-anak

Pendidikan emosi yang diterapkan oleh ibu bapa akan dapat menolong anak-anak untuk:

1. Membentuk kematangan emosi
2. Membentuk pertumbuhan emosi yang sihat
3. Membentuk rasa cinta kepada orang lain
4. Mengasihi orang lemah dan menderita seperti fakir miskin.
5. Membuat penyesuaian diri dengan orang lain di sekelilingnya.

Contoh-contoh emosi ialah kasih sayang, rasa tenteram, harapan, keimanan dan membezakan antara yang hak dengan yang batil, keadilan, persamaan dan lain-lain. Ajaran Islam telah memberi tunjuk ajar tentang cara-cara untuk melahirkan semua contoh-contoh emosi yang dinyatakan ini. Sebagaimana Hadis Rasulullah yang bermaksud:

Diriwayatkan dari Aishah r.a; telah datang orang kampung kepada Nabi s.a.w dan berkata: Adakah kamu mencium anak-anakmu? Kami tidak menciumnya. Maka Nabi s.a.w bersabda : tidaklah Allah mencabut dari hatimu rasa kasih sayan.
(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a: beliau berkata: Rasulullah mencium Hassan Bin Ali sedang Al-Aqra’ bin Habis berada di sebelah baginda lalu berkata: aku mempunyai sepulu orang anak, belum pernah aku mencium seorang pun di antara mereka” Rasulullah memandang kepadanya lalu bersabda: barangsiapa tidak mengasihani dia tidak akan dikasihi”

(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Antara Langkah-langkah yang perlu diambil dalam pendidikan emosi terhadap anak-anak ialah:

1. ibubapa hendaklah mengetahui peringkat-peringkat perkembangan emosi anak-anak bermula dari dalam rahim lagi.

2. Ibubapa juga hendaklah berusaha memberikan pendidikan emosi yang bersesuaian dengan setiap peringkat perkembangan.

3. Mempersiapkan rumahtangga dengan segala macam perangsang intelektual. Sebagai contoh di alam kanak-kanak permainan dan gambar-gambar adalah cara yang sesuai untuk dijadikan alat bantu belajar.


3. Peranan keluarga dalam pendidikan Sosial

Pendidikan tidak lengkap jika pendidikan sosial kepada anak-anak diabaikan. Keluarga perlu mendidik anak-anak dengan didikan sosial yang sesuai dengan akhlak Islam dengan mengambil kira budaya tempatan sesuatu masyarakat. Keluarga tidak boleh melihat pendidikan sosial ini sebagai sesuatu yang remeh sehingga mengabaikan aspek ini dalam pendidikan anak-anak kerana kanak-kanak dalam tahap permulaan hidupnya belum mempunyai pengalaman sosial yang luas, ia masih belum mampu berdikari untuk mengalami sendiri suasana dan alam sekelilingnya.

Pendidikan sosial ini melibatkan bimbingan tingkah laku sosial, ekonomi dan politik dalam rangka akidah Islam yang betul berdasarkan ajaran-ajaran dan hukum hakam agama dengan harapan dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Dengan keimanan dan ketakwaan itu akan lahir individu menghargai waktu, jujur, ikhlas dalam perbuatan, adil, kasih sayang, ihsan, mementingkan orang lain, tolong menolong, setiakawan dan sebagainya yang boleh menyumbang kepada pembentukan nilai sosial dalam diri anak-anak.

Rasulullah s.a.w menjelaskan pendidikan sosial dalam beberapa sabdanya yang bermaksud:
”cintailah anak-anak dan sayangilah mereka”.
(Hadis Riwayat Imam Al-Tohawi)


”Bukan temasuk golongan kami orang yang tidak menyayangi anak-anak dan tidak menghormati orang tua”

(Hadis Riwayat Imam Al-Tarmizi)

Rasulullah bersabda kepada Aisyah r.a: ”Hendaklah engkau bersifat lemah lembut, sebab lemah lembut jika ia berada pada sesuatu ia menghiasinya, sedangkan jika meningalkan sesuatu ia merosakkannya”
(Hadis Riwayat Imam Al-Tarmizi)

”Bertakawalah kamu kepada Allah dan berbuat adillah antara anak-anak kamu”
(Hadis Riwayat Imam Bukhari Dan Muslim )


Cara-cara untuk membentuk tingkah laku sosial anak-anak:

1. Memberi contoh yang baik kepada anak-anaknya dalam tingkah laku sosial yang sihat berdasarkan kepada prinsip-prinsip dan nilai agama.

2. Menjadikan rumah itu sebagai medan untuk mendidik tingkah laku sosial anak-anak melalui hubungan-hubungan sosial yang dipraktikkan antara ahli keluarga. Hubungan sosial ini penting apabila anak-anak mulai menjalin hubungan persahabatan dengan rakan-rakan mereka.

3. Menggalakkan mereka mendapatkan kerja yang dapat menolong mereka berdikari dari segi ekonomi.

4. Membiasakan mereka hidup sederhana supaya lebih bersedia menghadapi kesulitan sebelum terjadi.

5. Bersifat adil antara mereka.

6. Membiasakan mereka dengan akhlak-akhlak Islam dalam tatacara makan, minum, duduk, tidur, memberi salam, berziarah, masuk rumah yang telah didiami orang dan lain-lain lagi tingkah laku dalam hidup.

7. Membiasakan anak-anaknya berdikari dan memikul tanggungjawab secara beransur-ansur serta membimbing mereka dengan cara lembut jika mereka bersalah.

8. Menjauhkan mereka dari sifat manja dan berfoya-foya dan jangan menghina dan merendahkan mereka dengan kasar sebab sifat memanjakan dan kekasaran itu merosak keperibadian anak-anak.

9. Melayan anak-anak dengan lemah lembut.

10. Menghormati anak-anak di depan kawan-kawan mereka.

4. Peranan Keluarga dalam pendidikan jasmani dan kesihatan anak-anak

Keluarga mempunyai peranan penting untuk membantu pertumbuhan dan perkembangan jasmani anak serta membentuk kesihatan jasmani yang baik.

Peranan keluarga dalam menjaga kesihatan jasmani anak-anak boleh dilakukan oleh ibubapa ketika anak-anak masih dalam kandungan lagi dengan cara pemeliharaan terhadap kesihatan dan pemakanan ibu yang baik serta halal selama mengandung. Pemakanan ibu boleh mempengaruhi pertumbuhan jasmani anak-anak apabila lahir kelak. Setelah bayi lahir, maka tanggungjawab keluarga terhadap kesihatan anak dan ibunya meningkat berlipat kali ganda.

Ibubapa yang menjaga kesihatan jasmani anak-anak bermakna mereka telah menunaikan salah satu dari kewajipan yang diwajibkan oleh agama Islam kepada mereka. A-Quran dan hadis ada menjelaskan tentang cara-cara menjalankan pendidikan jasmani anak-anak adalah seperti berikut:

Firman Allah yang bermaksud:

Hendaklah kamu besarkan Tuhanmu dan bersihkan pakaianmu.

(Surah Al-Muddasir : 3-4)

Firman Allah yang bermaksud:

Makan dan minumlah dan jangan kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang berlebih-lebihan
(Surah Al-A’raf : 31)

Sabda Rasulullah yang bermaksud:

” cukuplah dosa manusia bahawa ia mensia-siakan orang yang harus diberikanya makan”

(Hadis Riwayat Imam Muslim)

Antara langkah-langkah yang boleh diambil dalam membentuk kekuatan jasmani anak-anak adalah seperti berikut:

1. Menyusukan bayi dengan susu ibu jika kesihatan ibu mengizinkan. Sebab pada susu ibu terkandung unsur kesihatan jasmani dan kejiwaan yang tidak diperolehi pada susu binatang.

2. Menyediakan makanan yang halal dan baik serta penuh gizi dan protein.

3. Memberikan suntikan-suntikan kesihatan.

4. Menjaga kebersihan badan dan kesihatannnya dari udara panas dan dingin serta serangan nyamuk dan binatang kecil yang lain.

5. Selalu mengadakan pemeriksaan kesihatan bila terdapat sebarang perubahan pada kesihatan bayi.

6. Memberikan peluang untuk bergerak badan, bermain berehat serta tidur yang cukup.

7. Menyediakan tempat tinggal yang dapat memenuhi syarat-syarat kesihatan.

8. Mengajarkan teori-teori tentang kesihatan



Isu-isu berkaitan dengan keluarga yang tidak berfungsi

Pengaruh media massa

Media massa merupakan alat yang paling berperngaruh dalam pembentukan peribadi anak-anak. Dewasa ini berbagai-bagai anasir buruk yang dipaparkan di kaca televisyen, majalah dan internet yang paling membimbangkan ialah anasir yang boleh menggugat akidah anak-anak remaja sekarang. Paparan budaya barat yang tidak bersesuaian dikhuatiri akan menjadi ikutan anak-anak orang Islam. Untuk itu ibu bapa hendaklah mengawasi anak-anak agar menggunakan media massa dengan sebaik mungkin agar perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Kesibukan

Kehidupan di zaman moden ini menuntut ibubapa keluar mencari rezeki untuk memenuhi keperluan material keluarga. Justeru dalam mengejar material ini ibubapa terlupa ada satu lagi tanggungjawab yang perlu dipenuhi yang sama pentingnya dengan keperluan material iaitu tanggungjawab mendidik anak-anak. Oleh itu ibu bapa perlu pandai menyeimbangkan tumpuan antara mengejar material dengan pendidikan anak-anak.

Pengaruh Rakan

Terdapat banyak kajian yang telah dibuat oleh para ahli sosiologi, mereka mendapati bahawa rakan adalah merupakan orang yang paling berpengaruh dalam pembentukan sikap anak-anak. Rakan merupakan orang yang paling dekat dengan anak-anak apabila mecapai umur dewasa. Oleh itu ibubapa hendaklah mengenalpasti rakan kepada anak-anak mereka denagn mengenal latarbelakang keluarga rakan tersebut. Ini merupakan tanggungjawab ibubapa bagi memastikan anak-anak membesar dalam suasana yang solehah. Dengan mengenali latarbelakang rakan kepada anak-anak, ibubapa dapat mengenalpasti peribadi dan sikap rakan anak-anak mereka.


Dadah

Dadah merupakan musuh utama negara yang perlu dijauhi. Sehingga kini tidak ada sebarang penawar yang betul-betul boleh menyembuhkan seseorang dari ketagihan dadah. Pengawasan daripada ibubapa dalam menangani najis dadah ini dapat menghindarkan anak-anak dari terjebak. Fatkor kesibukan dan rakan merupakan faktor yang paling utama yang mampu mempengaruhi anak-anak kepada penagihan dadah.

Perceraian

Perceraian merupakan salah satu faktor yang memungkinkan terjadinya keluarga yang tidak berfungsi. Sekali pun anak-anak dididik dengan didikan yang sempurna, jika berlaku perceraian besar kemungkinan boleh memberi kesan negatif kepada anak-anak. Walau bagaimanapun perceraian bukan merupakan faktor utama yang menyumbang kepada pembentukan peribadi anak-anak. Apa yang penting ibubapa perlu memberi pendidikan yang secukupnya kepada anak-anak agar dapat menjadi benteng dari sebarang perkara-perkara negatif.

Berikut dipaparkan satu graf yang berdasarkan satu Kajian Di sekolah-sekolah Di Langkawi yang dibuat oleh Khairani Bt Zakaria (2004) menunjukkan bahawa faktor perceraian bukanlah faktor utama yang boleh membawa kesan negatif dalam diri pelajar.

Menurut Hatta Shaharom (1989), beliau telah membahagikan kesan perceraian kepada dua aspek utama iaitu aspek kehidupan dan aspek psikologi sebagaimana berikut:

Dalam Aspek Kehidupan:

 Hidup terumbang-ambing dan terbiar
 Berlaku perubahan sikap yang tidak terkawal
 Gangguan perlakuan dan Kenakalan juvana
 Kekeliruan mencari “role model”
 Mudah terpengaruh
 Terdedah untuk melakukan jenayah
 Keras hati dan suka lepak

Dalam Aspek psikologi:

 Tekanan Jiwa
 Perkembangan psikologi yang tidak sihat
 Gangguan emosi

Implikasi Perceraian Terhadap Pendidikan

 Masalah disiplin sekolah
 Agresif di sekolah
 Hilang tumpuan
 Tergendala cita-cita


Kesimpulan:

Sebagai kesimpulan, berikut dipaparkan dua perangkaan iaitu perangkaan jenayah dan perangkaan cerai dalam bentuk graf:

Oleh yang demikian dapatlah dibuat kesimpulan bahawa penekanan Islam kepada pembinaan keluarga yang utuh mampu membentuk sebuah masyarakat yang maju dan berakhlak. Ini kerana keluarga merupakan agen sosialisi yang penting yang dapat mempengaruhi perubahan sosial dalam masyarakat. Oleh sebab itulah Islam amat menitikberatkan persoalan pembinaan keluarga agar tidak timbul perkara-perkara negatif dalam masyarakat. Penetapan syarat-syarat dan rukun-rukun perkahwinan yang terdapat dalam Al-Quran dan Al-Hadis jika diinterpretasikan dengan cara yang baik dalam amalan kehidupan akan dapat melahirkan umat yang kuat dan maju.

1 comment: