Sunday, October 18, 2009

KONSEP PENDIDIKAN ANAK-ANAK DARI PERSPEKTIF ISLAM

KONSEP PENDIDIKAN ANAK-ANAK DARI PERSPEKTIF ISLAM




1.0 MUQADDIMAH

Anak-anak yang dilahirkan merupakan satu ujian Allah SWT kepada kita. Sebagaimana yang telah disebutkan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang berbunyi :

Maksudnya “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.” (Al-Anfal : 28).
Allah SWT telah menjelaskan kepada kita dalam ayat ini bahawa harta benda dan anak-anak yang kita sayangi ini merupakan satu ujian kepada kita. Jika harta benda yang kita perolehi dengan secara yang halal dan menggunakan ke jalan yang halal maka beroleh ganjaran yang besar daripada Allah SWT. Dalam ayat ini juga Allah SWT telah menyebut anak-anak juga merupakan ujian kepada orang yang beriman. Jika anak-anak yang kita didik mengikut acuan Islam, maka kita akan beroleh ganjaran yang besar hasil ketaatan mereka.


2.0 PENDORONG TABIAT MANUSIA DARI PERSPEKTIF ISLAM DAN BARAT

Pakar psikologi kaunseling membuat pelbagai teori bagi menjelaskan pembentukan tabiat manusia seperti berikut:

1. Teori Psikoanalisis yang diasaskan oleh Frued. Teori ini menyatakan tabiat manusia pada asalnya jahat kerana dipengaruhi oleh unsur-unsur rangsangan seksual, kuasa agresif dan tidak rasional yang wujud dalam diri manusia bagi tujuan menjaga survival perkembangan hidupnya. Unsur-unsur itu bertindak di dalam diri manusia secara membabi buta (tidak sedar). Kombinasi unsur-unsur itu dan konflik hidup semasa kecil yang tidak dapat diselesaikan pada masa itu akan menjadi punca dan penentu tabiat anak pada masa hadapan.

2. Teori Analisis Transaksi. Teori ini menerangkan tabiat manusia terbentuk hasil daripada skrip hidup yang ditentukan oleh ibu bapa. Semasa kecil anak akan merakamkan secara langsung apa saja percakapan dan perbuatan yang ditayangkan oleh ibu bapa kepada mereka. Konflik akan berlaku apabila anak itu cuba menilai semula skrip hidup yang lama atau menerbitkan skrip hidup yang baru hasil daripada perkembangan emosi fikirannya dan pengaruh persekitaran.

3. Teori Behaviorisma. Menurut teori ini tabiat dan tingkah laku manusia terbentuk hasil daripada proses pembelajaran dan evolusi persekitaran. Tabiat manusia menjadi masalah apabila mereka menerima pembelajaran dan persekitaran yang salah, walaupun mereka sendiri yang mencipta sistem pembelajaran atau membentuk persekitaran.

4. Teori Pemusatan Klien. Teori ini membuat andaian bahawa tabiat manusia semula jadinya baik, rasional, bertanggungjawab dan berusaha mencapai kesempurnaan diri. Walau bagaimanapun manusia juga cenderung menjadi kecewa dan bermasalah apabila keperluan mencapai kesempurnaan diri dihalang seperti gagal mendapat kasih sayang, keselamatan dan seumpamanya.

5. Dari perspektif Islam. Terdapat empat peringkat nafsu yang mempengaruhi tabiat manusia iaitu:
a) Nafsu Ammarah: Nafsu yang sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan. Bagi mereka yang berada diperingkat ini tidak merasakan perbezaan antara yang baik dan jahat. Apabila melakukan kejahatan, ia tidak menyesal dan sebaliknya juga apabila melakukan kebaikan, ia tidak gembira.
b) Nafsu Lawwamah: Nafsu yang mula menunjukkan kelemahan diri, menilai tabiat masa lampau dan ingin keluar untuk memulakan kehidupan positif.
c) Nafsu Mulhamah: Nafsu yang sudah menerima kebenaran dan keinsafan serta merasa keseronokan membuat kebaikan dan benci kepada kejahatan.
d) Nafsu Mutmainnah: Nafsu yang mencapai kedamaian dan kebahagiaan. Nafsu ini berusaha terus meningkatkan keimanan & ketaqwaan dalam dirinya.

Pada prinsipnya nafsu itu adalah mewakili dua keperluan naluri manusia iaitu naluri kehaiwanan (jasmani) dan rohani (wahyu). Kadang kala berlaku pertarungan sengit antara dua naluri itu untuk mempengaruhi hati manusia.

Pandangan teori kaunseling barat tentang tabiat manusia adalah sebahagian dari pandangan Islam. Mereka mengkaji tabiat manusia dari aspek luaran sahaja dengan merujuk kepada faktor persekitaran, kemahiran keibubapaan dan keperluan jasmani tanpa dibimbing oleh al-Quran serta kajian itu dibuat berdasarkan kehidupan masyarakat di barat.

3.0 KEPENTINGAN PENDIDIKAN AWAL ANAK-ANAK

Pendidikan perlu dilihat sebagai satu proses yang berterusan berkembang serentak dengan perkembangan individu seorang kanak-kanak yang mempelajari apa sahaja yang ada di persekitaran dan dengan ilmu/kemahiran yang diperolehi ia akan mengaplikasikannya dalam konteks yang pelbagai samada dalam kehidupan sehariannya di ketika itu ataupun sebagai persediaan untuk kehidupannya di masa yang akan datang. Menurut perspektif Islam, pendidikan anak adalah proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani dan jasmani mereka dengan berteraskan nilai baik dan terpuji yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah. Tujuannya adalah bagi melahirkan insan rabbani yang beriman, bertakwa dan beramal soleh.

Kanak-kanak di peringkat awal umur, mereka tidak dapat membezakan yang baik dan yang buruk dan perlu dibentuk dan dididik sejak dari awal. Barat dan Islam mempunyai perspektif yang sama dalam hal ini, Apa yang membezakan ialah Islam menekankan pembentukan sahsiah seseorang kanak-kanak bukan hanya kelakuan fizikalnya tetapi pemantapan akhlak perlu diterapkan seiring dengan penerapan keimanan di dalam ruh dan jiwanya. Kalau sesuatu informasi yang diterima oleh seseorang kanak-kanak itu hanya di aras pengetahuan tanpa adanya penyemaian aqidah dan pemantapan akhlak, akibatnya generasi yang dihasilkan mungkin bijaksana dan tinggi tahap perkembangan inteleknya tetapi dari aspek-aspek yang lain ia pincang dan tiada keseimbangannya.

Jika inilah yang berlaku dalam dunia pendidikan pada hari ini, dibimbangi sejarah lama akan berulang. Analisis fakta dari perspektif sejarah telah cukup membuktikan bahawa kehancuran tamadun manusia contohnya Mesir, Greek, Rom dan Parsi adalah berpunca dari gagalnya penerapan nilai-nilai akhlak murni kepada generasi pewaris dan kontangnya penghayatan untuk diaplikasikan dalam kehidupan.
Pembangunan perindustrian pesat dalam era globalisasi yang berlaku dalam dunia hari ini telah meningkatkan cabaran membentuk generasi akan datang khasnya bagi ibubapa dan pendidik Muslim. Dalam menempuh alam cyber dan teknologi maklumat tidak dapat dinafikan pembangunan insan dan pembinaan generasi perlu dititikberatkan selari dengan keprihatinan terhadap kepesatan kemajuan negara. Ini kerana kanak-kanak merupakan aset penting bagi pembinaan sesuatu bangsa dan ketinggian maruah agama. Mereka adalah generasi pewaris yang bakal menjana wawasan dan mencorak masa depan sesebuah negara pada alaf yang akan datang. Mereka bakal menjadi pemimpin ummah dan mencorak keunggulan Islam sebagai agama sejagat.
Kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat misalnya menunjukkan bahawa setiap nilai dolar yang dilaburkan untuk pendidikan awal yang berkualiti tinggi dapat memberikan pulangan yang tinggi samada dari segi perkembangan ekonomi mahupun perkembangan sosial kehidupan masyarakat di negara tersebut. Manakala Jepun, negara yang suatu ketika dahulu pernah lumpuh akibat ledakan bom atom, dalam jangkamasa yang tak sampai setengah abad mampu bangun menjadi tunggak ekonomi dunia.
Satu kajian yang dilakukan oleh seorang penyelidik Barat mendapati bahawa pembinaan pemikiran masyarakat Jepun berpunca dari keprihatinan dan kepekaan pemimpin dan rakyat negara itu terhadap pembentukan generasi awal. Masyarakat Jepun telah menyediakan generasi mereka dengan daya ketahanan menghadapi cabaran dari aspek fizikal dan mental, dan mereka juga bertungkus lumus menumpukan perhatian membina daya keintelektualan dan menggarap potensi semulajadi setiap individu kanak-kanak sejak dari peringkat awal perkembangan. Justeru itu boleh dikatakan di sini bawa ketinggian kualiti pendedahan dan pendidikan awal seseorang kanak-kanak merupakan asas kepada keseluruhan perkembangannya yang akan datang.
4.0 TANGGUNGJAWAB MENDIDIK ANAK MENURUT ISLAM

Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai kepada kedua ibu bapa. Sebagai ibu bapa, seharusnya mereka mengambil berat pendidikan anak demi memastikan kehidupan mereka sentiasa berada dalam keredhaan Allah SWT. Falsafah pendidikan Islam sememangnya menekankan aspek rohani dan jasmani sesuai dengan kejadian manusia itu sendiri yang terdiri daripada roh dan jasad. Ia membabitkan beberapa peringkat bermula dari dalam kandungan sehingga lahir dan menjadi dewasa.

Sekiranya setiap suami isteri menghayati dan mempraktikkan nilai keislaman dalam kehidupan keluarganya, mudahlah mereka mendidik anak dengan benih ajaran Islam. Sebaliknya, jika pasangan itu gagal menerapkan nilai Islam dan mengekalkan kerukunan rumah tangga, amat sukar bagi mereka untuk mentarbiah anak mengikut acuan dan budaya hidup Islam.

Satu hal yang amat penting dan wajar diberi perhatian kepada ibubapa hari ini ialah mesti mengetahui cabaran yang menghalang anak-anak mereka taat kepada Allah SWT. Didikan ibubapa di rumah masih tidak menjamin anaknya menjadi taat kepada Allah SWT. Memang benar ibu bapa ada memberi didikan agama pada anak-anak mereka tetapi adakah didikan itu mencukupi dan diberi secara menyeluruh?

Hari ini, rangkaian televisyen, internet, bahan bacaan dan lain-lain sumber ilmu pengetahuan kebanyakkannya tidak menjurus kepada ketaatan. Adakah ini punca terjadi peningkatan perbuatan negatif oleh generasi muda kita? Siapakah yang bersalah? Orang tua, guru atau pelajar itu sendiri? Persoalan ini telah menjadi isu kepada kita hari ini. Ibubapa hari ini begitu gelisah dengan keadaan semasa anak-anak mereka. Anak-anak mereka berpeleseran tanpa hala tujuan. Suka hiburan daripada buat kerja sekolah ataupun menolong kedua-ibu bapa. Lebih rapat dengan kawan berbanding keluarga sendiri.

Bagi menjawab persoalan-persoalan ini, seharusnya kita merenung dan mendalami punca kerosakan dan kaedah penyelesaian melalui sistem pendidikan anak yang diajarkan dalam Islam.



5.0 PUNCA KENAKALAN ANAK
1. Faktor keluarga
Akhlak anak bermula di rumah. Anak sejak kecil dan sebahagian besar masanya berada dalam lingkungan keluarga. Ini menunjukkan perkembangan mental, fizikal dan sosial adalah di bawah kawalan ibu bapa atau tertakluk kepada skrip hidup yang berlaku dalam sesebuah rumahtangga. Oleh yang demikian jika anak remaja menjadi nakal atau liar maka kemungkinan besar puncanya adalah berasal dari pembawaan keluarga itu sendiri. Isu pembawaan keluarga itu ialah;
a. Status ekonomi ibu bapa yang rendah dan daif di mana anak membesar dalam keadaan terbiar.
b. Kehidupan ibu bapa yang bergelumbang dengan maksiat.
c. Ibu bapa lebih mementingkan kerjaya atau pekerjaan daripada menjaga kebajikan keluarga.
d. Rumahtangga yang tidak kukuh atau bercerai berai.
e. Syiar Islam tidak kukuh dalam rumahtangga.




2. Faktor Peribadi Yang Kotor
Peribadi yang kotor adalah merujuk kepada seseorang yang rosak akhlaknya atau mempunyai sifat-sifat yang keji (mazmumah) seperti pemarah, tamak, dengki, pendendam, panas baran, sombong, tidak amanah dan seumpamanya. Keadaan ini berlaku kerana individu itu telah dikuasai oleh naluri agresif dan tidak rasional (nafsu kehaiwanan), hasil daripada pengalaman yang diterima sejak kecil dan kemudian diperkukuh pula bila anak itu melalui zaman remaja. Dengan lain perkataan peribadi fitrah anak telah terencat dan menjurus kepada peribadi yang kotor hasilnya.

3. Faktor sekolah
Sekolah merupakan tempat memberi pengajaran dan pendidikan kedua kepada anak selepas ibu bapa. Akhir-akhir ini ini dunia pendidikan kita pula tercabar melihat keadaan pelajar di sekolah-sekolah yang melakukan pelbagai aktiviti yang tidak mencerminkan keperibadian yang baik. Dahulu, sekolah dianggap satu tempat yang mulia di mana pelajar bersungguh-sungguh menuntut ilmu untuk dijadikan bekalan pada masa depan. Guru adalah pengganti orang tua yang terkadang dihormati melebihi hormat seorang anak kepada ayahnya. Akan tetapi hari ini sekolah yang mulia itu ada yang mula dibakar oleh pelajarnya, guru yang semestinya dicontohi kini diburu. Daripada hati kecil kita timbul persoalan kenapa terjadi perubahan yang besar di kalangan pelajar kita hari ini?
Mengikut kajian, faktor sekolah yang boleh mempengaruhi anak ialah:
a. Disiplin sekolah yang longgar.
b. Ibu bapa tidak mengambil tahu kemajuan dan pencapaian anak di sekolah.
c. Guru tidak mengambil tahu masalah yang dihadapi oleh murid-murid.

4. Faktor Persekitaran
Dalam Islam, persekitaran memiliki peranan yang penting dalam pendidikan anak sehingga wajarlah apabila kita dianjurkan untuk melihat jiran di kawasan yang akan diduduki. Anak-anak sangat mudah dipengaruhi oleh persekitarannya. Oleh sebab itu, tinggal di suatu tempat dengan persekitaran yang baik adalah modal penting membentuk sahsiah anak untuk menjadi generasi yang baik. Persekitaran yang baik ini bermakna bukan hanya baik dari segi keadaan fizikal tapi juga baik dari segi mental dan kehidupan beragama.



5.0 TARBIAH (PENDIDIKAN) ANAK BERMULA DALAM KANDUNGAN

Rasulullah s.a.w. dalam satu hadisnya bersabda, maksudnya:"Didiklah anak kamu 100 tahun sebelum dia dilahirkan." Hadis ini amat singkat tetapi memiliki makna falsafah yang dalam sebab ungkapan 'seratus tahun sebelum lahir' ini bermakna jauh sebelum anak itu dilahirkan oleh ibunya ke dunia ini. Pakar kesihatan dan ahli jiwa berpendapat bahawa keadaan orang tuanya mempengaruhi sifat serta perilaku anak-anak yang akan dilahirkan. Ini bermakna pendapat pakar itu dengan hadis Rasulullah s.a.w. di atas sebenarnya sealiran. Ini kerana makna hakikat mendidik anak dalam hadis Rasul itu adalah dengan cara mendidik diri setiap orang tua itu sendiri terlebih dahulu dengan melakukan aktiviti-aktiviti kebajikan dan meninggalkan semua bentuk maksiat.

Seorang ayah dan ibu kadang-kadang lupa dan leka dengan menganggap perbuatan dan sikap mereka ketika ini tidak memiliki hubung kait dengan masa depan anak-anak mereka. Padahal setiap orang tua sebenarnya bukan hanya akan mewariskan harta kepada anak mereka tetapi juga akan mewariskan sikap dan pandangan hidup.
Mungkin inilah yang dikatakan orang Arab dalam salah satu syair: "Kaifama takun yakun abna'aka" yang bermakna “bagaimana kamu hari ini, begitu pulalah anak-anakmu pada masa hadapan”.

Berdasarkan hal di atas, maka wajarlah Rasulullah s.a.w. mengingatkan setiap orang yang akan bernikah supaya jangan salah memilih pasangan. Dan Rasulullah memberikan empat alternatif bagi setiap muslim dalam memilih jodoh berdasarkan sabdanya;
"Wanita dikahwini kerana empat perkara iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang beragama kerana ia lebih menguntungkan kamu (lebih utama)."(HR Bukhari, Muslim & Abu Daud)

Sebelum kelahiran anak itu lagi, ibu bapa perlu menyediakan tempat sesuai untuk mengasuh dan membesarkan anak sebaik-baiknya. Ia memberi makna bahawa dunia pertama bagi seorang kanak-kanak adalah rumah ibu bapanya sendiri. Bagi memastikan kesempurnaan dalam pendidikan anak, ibu bapa perlu membentuk suasana yang harmoni dan bercirikan keislaman dalam kehidupan berumahtangga. Ia boleh dilakukan sejak di awal perkahwinan lagi.

Secara umumnya, proses pendidikan bermula ketika bayi berada dalam kandungan ibunya. Tarbiah pada peringkat ini lebih bercorak kerohanian iaitu:-
i. Bagi ibu yang sedang mengandung amat digalakkan supaya memperbanyakkan bacaan al-Quran terutama surah Yusuf, Maryam, Luqman dan At-Taubah. Ini kerana, surah itu mengandungi pelbagai kelebihan dan maksud tersirat mempunyai makna yang besar dalam pentarbiahan anak.
ii. Ibu turut disarankan sentiasa memperbanyakkan doa kepada Allah anak bakal dilahirkan itu nanti menjadi seorang anak yang soleh, berilmu, berakhlak mulia dan taat kepada kedua ibu bapanya. Ini penting untuk memastikan keluarga dibentuk sentiasa mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah.
Kita sepatutnya mengambil contoh daripada doa Nabi Ibrahim AS. Ketika banginda berdoa dengan doa yang difirmankan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang maksudnya; “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!” [As-Shafaat :100]. Dengan berkat kesungguhan Nabi Ibrahim AS dan keyakinannya, maka Allah SWT mengurniakan kepadanya anak yang penyabar iaitu Nabi Ismail AS dengan firmanNya yang maksudnya;“Lalu Kami berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar” [As-Shafaat : 101]
Banyak lagi khazanah doa para nabi dan para waliyullah yang terkandung dalam al-Quran yang merupakan rahsia utama kepada kunci berolehnya anak-anak yang soleh. Kepada ibu bapa dan bakal bergelar ibu bapa doa amat memainkan peranan utama jika bekehendakkan anak yang soleh dan solehah. Jadi sentiasalah amalkan doa sewaktu memilih pasangan hidup, ketika bersama dengan isteri ataupun suami dan dalam semua pekerjaan.
iii. Ibu bapa juga mesti memastikan rezeki yang mereka peroleh datang daripada sumber yang halal dan bersih. Ini amat mustahak kepada pembentukan dan pertumbuhan anak yang bakal dilahirkan supaya ianya datang dari darah daging yang halal lagi berkat. Ia juga memberi kesan kepada pembentukan peribadi anak apabila besar kelak.
iv. Ibu hamil juga perlu memakan makanan berzat dan sentiasa menjaga kesihatan tubuh badannya. Kebersihan diri perlu diutamakan demi menjamin kesihatan anak dalam kandungan. Faktor kesihatan amat dititikberatkan oleh Islam kepada ibu berada dalam keadaan sedemikian yang sudah tentunya menghadapi pelbagai kesukaran dan kepayahan. Ini terbukti dengan kelonggaran yang diberikan Islam untuk ibu mengandung untuk berbuka puasa (pada Ramadan) sekiranya berasakan puasa itu menjejaskan kesihatan diri dan anaknya.
v. Ketika tempoh masa mengandung juga, ibu perlu menyesuaikan diri dengan perubahan berlaku ke atas dirinya. Pada waktu sebegini juga sememangnya keadaan ibu agak berbeza daripada waktu biasa. Antaranya mungkin kehilangan selera makan dan mudah sensitif. Pada ketika ini suami hendaklah memahami keadaan isteri dengan sentiasa berada di sisi dan memberi dorongan kuat kepadanya.



6.0 PENDIDIKAN SELEPAS KELAHIRAN

6.1 AMALAN-AMALAN SUNAT
Demi mendapatkan anak-anak yang soleh, Islam telah menganjurkan kepada ibu bapa untuk melakukan beberapa amalan dari awal lagi. Islam telah menetapkan peraturan tertentu semasa menyambut kelahiran bayi iaitu dengan melakukan amalan-amalan sunat seperti berikut:
i. AZAN DAN IQAMAT
Selepas anak selamat dilahirkan, ia hendaklah segera diazankan ditelinga kanan dan diiqamat ditelinga kiri sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang baru melahirkan anaknya lalu diazankan di telinga kanan dan diiqamat di telinga kirinya nescaya anak tersebut akan terhindar daripada penyakit sawan dan angkara syaitan” (HR Abu Ya’la). Dalam satu riwayat oleh Abu Rafi yang bermaksud: "Aku melihat sendiri Rasulullah mengazankan Hasan bin Ali di telinganya ketika dia baru dilahirkan oleh Fatimah”. (HR Bukhari dan Muslim)
Inilah kunci pertama untuk memastikan pendengaran anaknya mendengar kebesaran Allah SWT apabila pertama kali keluar sebagai khalifah di bumi ini.
ii. MEMBELAH MULUT (TAHNIK)
Tahnik mulut bayi dengan kurma atau makanan yang manis merupakan sunnah Nabi SAW.
iii. PENYUSUAN
Susu ibu merupakan makanan semula jadi bayi. Ia membina kesihatan dan tenaga. Ia juga makanan rohani dan akhlak yang memberi kesan kepada seluruh keperibadian anak, mengalirkan aliran pemikiran dan sikap yang baik ke dalam diri bayi melalui setiap titisan air susu ibu.
iv. MEMBERI NAMA
Tanggungjawab ibu bapa juga ialah memberi nama anak-anak dengan nama yang baik sebagaimana hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Tugas dan tanggungjawab bapa terhadap anaknya ialah memperelokkan nama anaknya dan juga adabnya” [Hadis Riwayat al-Baihaqi]
v. BERCUKUR
Menggunting rambut bayi merupakan sunnah Rasulullah SAW yang dilakukan ketika bayi berusia 7 hari. Rambut tersebut hendaklah ditimbangkan dengan wang perak yang kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin mengikut berat timbangan rambut yang digunting tersebut.
vi. AQIQAH
Hukum Aqiqah ialah sunat yang sangat dituntut (muakkad). Sabda Nabi SAW mengenainya yang bermaksud : “Setiap anak tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ke 7, dicukur rambutnya dan diberi nama.”[Hadis Riwayat Ahmad]
vii. BERKHATAN
Berkhatan termasuk sunnah Rasulullah SAW. Sabda Nabi SAW mengenainya yang bermaksud: “Berkhatan itu sunat bagi kaum lelaki dan suatu penghormatan kepada kaum wanita.” [Hadis Riwayat At- Tabrani]
6.2 PERINGKAT PENDIDIKAN KANAK-KANAK MENURUT RASULULLAH SAW

Rasulullah s.a.w. membahagikan pendidikan anak selepas kelahiran ini kepada empat tingkatan, iaitu:

1. UMUR 1-7 TAHUN.

Pada masa ini, Rasulullah menyuruh kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih yang tidak bertepi dan sayang yang tidak berbatas. Biarkan anak-anak pada masa ini bermandikan kasih sayang.


2. UMUR 7-14 TAHUN.

Kanak-kanak lazimnya akan belajar/mengikut berdasarkan pemerhatian iaitu apa yang dilakukan oleh individu di sekelilingnya terutama dari ibu bapanya. Pada masa ini Rasulullah memerintahkan kita untuk mula menanamkan disiplin kepada anak-anak dengan mengajar dan memerintahkan mereka untuk mengerjakan solat. Bahkan apabila umurnya sudah 10 tahun, seorang ayah boleh memukul anaknya apabila enggan mengerjakan solat. Rasulullah SAW telah bersabda;
“Suruhlah anak kamu mengerjakan sembahyang apabila berumur 7 tahun, dan pukullah mereka (jika mereka enggan) apabila berumur 10 tahun, dan asingkan tempat tidur mereka”. (HR Ahmad & Ab Daud)

Berdasarkan kajian pakar-pakar ilmu jiwa anak, pada umur 7-14 tahun ini adalah masa terbaik untuk menanamkan disiplin dan pembentukan sahsiah seorang anak. Seperti yang dikatakan oleh Rasulullah dalam hadisnya bahawa setiap anak yang lahir dalam keadaan suci. Maka, ayah dan ibunyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. Pada tahap ini ajarilah dengan sebutan kalimah-kalimah suci Allah (al-Quran) kerana pada peringkat usia kanak-kanak mereka akan mudah mengingat apa yang diajar. Diriwayatkan dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda maksudnya; “Apa yang dipelajari oleh kanak-kanak ialah seperti mengukir sesuatu pada batu”.

Oleh itu ibu bapa hendaklah:-
a) Menanamkan asas-asas keimanan
b) Berlaku adil terhadap anak-anak dalam memberi kasih sayang, pendidikan, makanan, tempat tinggal dan sebagainya.
c) Mengasuh anak-anak dengan lemah lembut dan bersopan santun.
d) Mempamerkan akhlak yang mulia dan terpuji.
e) Mengampuni dan mengasihi anak-anak dan lain-lain ahli keluarga dengan penuh kasih dan sayang.
f) Mendidik anak-anak ke jalan yang diredhai Allah SWT.
g) Menunjukkan teladan yang baik pada anak-anak.
h) Bertanggungjawab mencipta sebuah rumahtangga yang aman bahagia untuk didiami oleh anak-anak.
i) Bertanggungjawab memastikan anak-anak dijaga dengan baik.
j) Bertanggungjawab memberi pendidikan dan pelajaran yang berguna dan menghantar mereka ke sekolah-sekolah.
k) Mengajar anak-anak mengerjakan sembahyang, mengaji al-Quran dan melatih anak-anak berpuasa.
l) Mengajar anak-anak dengan ilmu yang dapat menjadi perangsang bagi memperkayakan ilmu Islamnya.
3. UMUR 14-21 TAHUN.

Pada masa ini, orang tua sudah menukar penanaman disiplin dengan cara yang agak keras kepada cara rasional. Orang tua perlu mendidik anak dengan cara menjadikannya sahabat dalam berdiskusi, mengajaknya ikut dalam membincangkan masalah keluarga dan diberikan satu-satu tanggungjawab dalam hal-hal tertentu di rumah. Hal ini penting agar anak berasa dirinya punya tanggungjawab dan telah dewasa sehingga perlu mengambil berat hal-hal dalam keluarga.
Setelah remaja, ajaran-ajaran agama Islam yang berkaitan dalam bidang syariah, aqidah dan akhlak perlu diajar secara terperinci kepada anak-anak di peringkat umur begini supaya mereka mengetahui, memahami dan dapat menghayatinya. Seterusnya perkara-perkara baik dan betul tersebut dapat diimplementasikan dalam kehidupan mereka sehari-hari. Dengan demikian mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang menyeleweng, amal ibadat dan akhlak mereka akan terpandu dengan betul.

Ibu bapa pada masa kini dilihat seolah-olah mengambil sikap lepas tangan dan membiarkan anak mereka melintasi alam remaja berlalu begitu sahaja tanpa mengambil tahu pergolakan yang dihadapi oleh anak mereka dengan alasan sibuk dengan tugasan di pejabat. Sebagai ibu bapa, mereka perlu mengetahui bahawa masa remaja ialah masa peralihan zaman dari alam kanak-kanak menuju ke alam dewasa. Pada masa ini, anak-anak tidak lagi dianggap kanak-kanak dan tidak juga orang dewasa. Peralihan zaman alam kanak-kanak menuju alam dewasa adalah suatu masa yang penting kepada remaja kerana pada masa ini mereka akan menentukan konsep dirinya atau siapakah diri aku atau suatu proses menentukan konsep jati diri pada dirinya


4. UMUR LEBIH 21 TAHUN.

Pada masa ini, orang tua sudah boleh melepaskan anaknya untuk belajar menempuh hidup akan tetapi tetap melihat perkembangannya dan memberikan nasihat serta peringatan-peringatan apabila anak tersalah atau terlupa. Dalam kehidupan kita selaku Muslim, kadang-kadang pendidikan yang diajarkan oleh Rasul itu tidak benar-benar diamalkan, bahkan ramai yang tidak mengamalkannya sama sekali. Ada orang tua yang terlalu memanjakan anak sampai berumur 14 tahun dan baru mula mengajar/menyuruhnya solat pada umur 15 tahun sehingga mereka bukan saja enggan melakukannya, bahkan marah kepada ibu bapanya apabila disuruh sembahyang. Apabila seorang anak enggan melaksanakan kewajipannya yang tertinggi, iaitu solat, maka perintah siapa yang akan dia dengar dan lakukan? Pada hal hakikat solat mampu mencegah seseorang. untuk tidak melakukan perbuatan keji dan mungkar.

Dapat disimpulkan bahawa perbuatan samseng yang dilakukan oleh pelajar muslim di sekolah mereka, sebenarnya terjadi kerana rapuhnya pendidikan iman dan tidak berperanannya hikmah solat dalam diri mereka yang berpunca daripada cara mendidik yang salah. Sebahagian orang tua ada yang menanamkan pendidikan disiplin kepada anak secara membuta-tuli tanpa melihat umur dan perkembangan kedewasaan anak sehingga anak berasa dizalimi oleh orang tuanya dari segi hak-hak tertentu. Natijah dari sikap seperti ini akan menjadikan anak-anak jauh dari orang tua dan menganggap rumah sebagai penjara, lalu mereka terdorong untuk mencari ketenangan di luar rumah.
6.3 KURIKULUM INTEGRATIF UNTUK KANAK-KANAK

Kurikulum integratif mempunyai makna yang subjektif. Integratif di sini boleh memberi maksud kesepaduan iaitu menekankan perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu ke arah melahirkan insan yang baik berdasarkan kepercayaan, keyakinan serta kepatuhan kepada tuhan.

Dalam konteks Islam, kurikulum pendidikan bagi seseorang kanak-kanak khasnya di peringkat awal perkembangan melibatkan segala pengalaman pembelajaran yang dididedahkan kepada kanak-kanak samada ianya dirancang ataupun tidak, secara langsung atau tidak langsung yang ditimba oleh seseorang kanak-kanak sepanjang proses mereka membesar. Kurikulum dan pengalaman ini sebenarnya merangkumi segala aktiviti dan pengalaman pembelajaran yang disediakan oleh orang dewasa, segala aktiviti yang ditentu dan difikirkan oleh kanak-kanak itu sendiri, termasuklah juga bahasa/teknik berkomunikasi yang diamalkan oleh orang dewasa dan kanak2 menggunakannya dikalangan rakan sebaya atau orang lain malah segala apa yang mereka boleh lihat dan dengar dari persekitaran mereka.

Kadang-kala kurikulum ini juga boleh jadi sesuatu yang tersembunyi, yang tidak dirancang tetapi tanpa disedari kanak-kanak mempelajarinya. Sebagai contohnya masa atau perhatian yang diberikan oleh pengasuh atau pendidik kanak-kanak terhadap sesuatu aktiviti mungkin menyebabkan kanak-kanak merasakan sesuatu perkara itu lebih berfaedah dari yang lain walaupun hakikatnya tidak begitu. Inilah konsep utama yang perlu difahami.

Masih timbul persoalan dan keraguan di sudut hati para penyelidik yang membuat kajian, pemerhatian, peka dan prihatin kepada perkembangan kanak-kanak Islam hari ini. Mengapa ketrampilan, pemikiran, kewibaan, daya intelek kanak-kanak Islam selalu dikatakan agak ketinggalan ke belakang jika dibandingkan dengan kanak-kanak di negara-negara barat umpamanya? Mengapakah anak-anak ini meskipun disemai dengan benih-benih keimanan masih terjebak dengan gejala sosial yang memalukan? Adakah sesuatu yang tidak kena dengan kurikulum pendidikan Islam atau mungkin kekeliruan berlaku dari segi aplikasi? Adakah mungkin kerana ini yang kita katakan kita memerlukan perubahan? Mungkinkah pendidikan kanak-kanak di peringkat awal berasaskan binaan kurikulum integratif boleh menjadi salah satu cara penyelesaiannya?
Justeru itu, amat wajar untuk kita meneliti kembali kurikulum pendidikan anak-anak di peringkat awal usia ini jika generasi yang mahu kita lahirkan adalah generasi serba boleh, berketrampilan, berwawasan , tinggi daya keintelektualan dan utuh imannya.
Tiga Aspek kurikulum yang integratif
1. Integratif dari segi kesepaduan maklumat yang disampaikan kepada kanak-kanak.
Ilmu pengetahuan dan pengalaman pembelajaran yang perlu didedahkan kepada kanak-kanak di peringkat awal usianya perlulah suatu yang komprehensif dan bersepadu bukannya terpecah-pecah mengikut subjek kerana ini akan menjadikan kanak-kanak menjadi keliru dan seolah-olah ada ‘batasan’ dalam mendalami sesuatu ilmu atau pengetahuan yang didedahkan kepada mereka. Sebaliknya, jika pendedahan pengalaman pembelajaran adalah berasaskan kepada penggarapan aspek perkembangan dan bersesuaian dengan tahap dan kebolehan kanak-kanak, kanak-kanak akan lebih kreatif, memiliki daya kemahiran berfikir yang tinggi serta memperolehi kemahiran meyelesaikan masalah yang dapat membentuk semangat jati diri dan keyakinan yang tinggi. Pendidik kanak-kanak sepatutnya menggarap potensi kanak-kanak berasaskan apa yang ia tahu kerana ini menjadikan kanak-kanak lebih berminat untuk mendalami sesuatu perkara. “Berbicaralah dengan manusia mengikut kadar kemampuan akalnya” Begitulah pesanan Rasul s.a.w. kepada umatnya.

2. Integratif dari segi kesepaduan aspek-aspek perkembangan dan potensi yang digarap di peringkat awal.
Sememangnya pengalaman pembelajaran seseorang kanak-kanak di peringkat awal usia mampu memberikan kesan yang positif atau negatif kepada perkembangannya di masa hadapan samada dari segi kognitif, emosi, sosial dan aspek-aspek perkembangan yang lain bergantung kepada cara bagaimana kanak-kanak mendapat pendedahan. Kalau dari awal perkembangan kerohanian dan sosio-emosi mereka dititikberatkan, hasilnya akan lahirlah anak-anak yang berwibawa, taqwa, cekal hati, tinggi nilai harga diri, berketrampilan dan mampu menghadapi cabaran masa hadapan. Tetapi sebaliknya jika pendedahan awal yang mereka dapat hanya menumpu kepada perkembangan akademik atau satu aspek perkembangan semata-mata, maka akan pincanglah aspek perkembangan yang lain malah boleh memberi kesan negatif pula kepada perkembangan personaliti seseorang kanak-kanak. Andai ia digarap dari segi intelek tetapi emosinya tidak terdidik, maka perkembangan sosialnya juga tidak mantap dan sudah pastinya ia tidak mampu menjadi pemimpin ummah yang baik pada masa yang akan datang.

3. Integratif di sini bererti kita menyepadukan antara pendekatan barat dan Islam dalam mendidik anak-anak.
Kita ambil apa yang baik dari barat apa yang boleh dilihat dengan mata kasar tentang amalan-amalan dan pendekatan-pendekatan mereka mendidik kanak-kanak dan kita sepadukan dengan pendekatan Islam yang kaya dengan teori dan khazanah ilmu yang berbagai. Sesuatu program pendidikan awal kanak-kanak ini perlu dibentuk berdasarkan pandangan dan pendekatan integratif dan bersepadu gabungan Islam , Barat dan Timur.

Falsafah pendiddikan awal kanak-kanak yang berteraskan kepada pendekatan integratif tersebut jika diteliti secara mendalam adalah didasarkan kepada konsep-konsep berikut yang disepadukan antara dua pandangan:
i. Pembinaan akhlaq dan pembentukan sahsiah
ii. Bermain adalah tugas utama kanak-kanak
iii. Kanak-kanak adalah individu yang unik dan berbeza antara satu sama lain.
iv. Rangsangan neurologi & deria melalui penglibatan yang aktif dalam setiap aktiviti.
v. Memberi kebebasan dan ruang kepada kanak-kanak bagi mengenal pasti apa yang mereka mahu dan mampu lakukan.
vi. Memenuhi keseimbangan keperluan rohani, fisiologi, psikologi dan pembesaran fizikal kanak-kanak.
vii. Persekitaran yang kondusif, ceria dan selamat
viii. Keperihatinan terhadap persekitaran dan penyediaan pemakanan yang sihat dan bersih.
ix. Menghormati kepelbagaian dan hak-hak yang sama rata
6.4 MENERAPKAN NILAI MURNI DALAM DIRI ANAK



Ibu bapa hendaklah sentiasa menyuruh anak-anak mereka bersifat dengan sifat yang mulia dan murni iaitu sifat-sifat mahmudah. Mereka juga mesti melarang anak-anak dari melakukan perkara-perkara keji dan tidak elok iaitu sifat-sifat mazmumah.

Oleh yang yang demikian, ibu bapa mestilah terlebih dahulu memiliki sifat-sifat mahmudah dan kemudian hendaklah diterapkan kepada anak-anak mereka. Kita sebagai ibubapa perlu bersabar dan tanpa jemu berusaha untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam diri anak-anak seperti berikut:-

i. Mendidik anak supaya taat dan menghormati kedua ibu bapanya dengan menimbulkan kesedaran kepada mereka bahawa pengorbanan ibu bapa terhadapnya amat besar dan mereka perlu memahami dan menghormati kedua-duanya.
ii. Mengajar anak supaya taat dan beradab kepada guru dan orang lebih tua daripadanya. Mereka perlu disedarkan bahawa guru adalah orang bertanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu, manakala orang lebih tua adalah orang lebih berpengalaman daripadanya.
iii. Mengajar anak bercakap atau bergaul dengan baik iaitu dengan melatih mereka supaya bercakap benar, sopan santun dan mengucapkan kata yang baik. Ini kerana, kanak-kanak begitu sensitif dan mudah terikut-ikut terhadap apa yang didengarnya.
iv. Mendidik anak adab bergaul dengan rakan. Mereka harus diingatkan supaya tidak meninggi diri dan jangan menyakiti atau mengambil hak orang lain.
v. Mengajar anak akan adab makan dan minum yang baik dan mengelakkan sikap tidak sopan sebaliknya mereka perlu dilatih dengan adab makan seperti mencuci tangan, duduk dengan sopan serta berdoa sebelum dan selepas makan.
vi. Mengajar mereka dengan adab berpakaian yang bertujuan menutup aurat dan bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada orang lain.
vii. Mengajar adab tidur dan bangun dari tidur iaitu sebaik-baiknya mengadap kiblat, membersihkan diri sebelum tidur dan membaca doa sebelum/selepas bangun tidur.
viii. Mengajar anak adab masuk dan keluar tandas iaitu cara membuang air dan cara masuk ke dalam tandas seperti membaca doa, membelakangkan kiblat dan sebagainya.
7.0 SUMBANGAN PARA ILMUAN ISLAM

Mungkin selama ini ramai yang beranggapan teori-teori dan ilmu-ilmu berkaitan perkembangan kanak-kanak, pendidikan keibubapaan dan pendekatan moden mendidik anak khasnya di peringkat awal usia dipelopori oleh barat & tidak releven dengan Islam. Hakikatnya pendekatan-pendekatan moden yang kita lihat pada hari ini sebenarnya dipelopori oleh para ilmuan Islam di zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu.

Kita sering menyebut tentang Jean Piaget dan teori Perkembangan kognitif tetapi kita melupakan Ibnu Sina yang membicarakan hal yang sama berkurun-kurun lamanya sebelumnya. Dewasa ini kita sibuk membicarakan tentang Emotional Intelligent yang dipelopori oleh Howard Gadgner tanpa kita sedari Ibnu Khaldun telah berabad lamanya mengupas isu tersebut di dalam kitabnya almuqaddimah. Kita mula menyuarakan tentang kepentingan memahami perbezaan perkembangan individu di kalangan kanak-kanak tanpa merujuk penulisan Al-Ghazali dan hujah-hujahnya tentang hal tersebut dalam membicarakan isu-isu perkembangan sosio-emosi kanak-kanak. Ibnu Sina misalnya telah membincangkan kepentingan hygiene dan penjagaan kesihatan kerana dua faktor ini adalah asas kepada pembentukan fizikal yang sihat. Kemampuan kanak-kanak mendapatkan pengalaman adalah berbeza dari satu individu dengan individu yang lain telah diketengahkan oleh seorang lagi ilmuan hebat islam iaitu Ibn Khaldun. Manakala Ibn Jamaah pula mengupas tanggungjawab pendidik dari segi memahami tingkahlaku kanak-kanak dan menanganinya melalui kaedah pengukuhan.

Di sana- sini pendidik kanak-kanak begitu sibuk memperkatakan mengenai kepentingan bermain melalui belajar sebagai satu pendekatan kurikulum yang paling bersesuaian dengan kanak-kanak kerana ia merujuk kepada ciri-ciri semulajadi kanak-kanak yang sememangnya suka bermain. Nama Froebel, Susan Isaacs, Mc Millan dan pelbagai lagi teori mengenai permainan dari perspektif barat disebut-sebut dan dijulang. Sebenarnya, banyak hadis-hadis yang menyebut mengenai kepentingan bermain dalam kehidupan kanak-kanak yang menunjukkan kesesuaiannya sebagai pendekatan utama perkembangan pembelajaran kanak-kanak. Namun, hadis-hadis sebegini seperti tidak diberikan perhatian dan jarang dikupas. Lalu apabila umat Islam berbicara mengenai perkembangan kanak-kanak sudah pastinya penulisan sarjana barat menjadi rujukan tanpa menyedari atau mungkin alpa, telah ada usaha sebegini dibukukan dan dihurai oleh ulamak terdahulu sebagai contohnya Ibn Qayyim Al-Jauziah dalam kitabnya “tuhfatul maudud fi ahkam almaulud”.

Umat Islam yang mempelajari ilmu psikologi pendidikan pada hari ini sudah pastinya arif tentang teori-teori yang dikemukakan oleh Behaviourisme, Social Learning Theory dan sebagainya yang menekankan kanak-kanak belajar melalui pemerhatian dan mudah meniru apa saja perlakuan. Untuk mengekalkan tingkahlaku baik yang ditunjukkan oleh seseorang kanak-kanak, maka perlulah mereka selalu diberi pengukuhan. Tokoh ilmuan Islam Imam Al-Ghazali yang terlebih awal mengupas begitu terperinci persoalan sebegini dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin dan mengemukakan lima aspek utama dalam pendidikan kanak-kanak khasnya di peringkat awal perkembangan: Qudwah (Role model), Mulahazah wa mutaba’ah (Observation and imitation), i’tiyad (kelaziman/kebiasaan),isu Al-thawab wa al iqab (Reward and punishment) dan nasihat (advice) sebagai penyelesaian. Beliau begitu menekankan peri pentingnya ibubapa dan pendidik perlu menjadi role model atau ikutan yang baik kerana sikap atau tingkahlaku yang ditunjukkan oleh ibubapa sebenarnya adalah kurikulum dalam pendidikan seorang kanak-kanak. Bersesuaian dengan sifat semulajadi kanak-kanak yang suka meniru perilaku atau apa sahaja yang ada di hadapannya, dan seperti yang ditegaskan oleh Imam Al Ghazali, kanak-kanak belajar melaui pemerhatian yang jika dibiarkan ia akan menjadi kebiasaan atau I’tiyad dan sukarlah untuk dibentuk. Dalam menangani masalah ini ibubapa atau pendidik di beri pilihan antara memberi pengukuhan dan ganjaran baik atau hukuman. Jalan yang paling terbaik ialah dengan memberi nasihat yang pendekatannya adalah “mendidik jiwa dengan jiwa atau alhal bilhal.” Seperti yang tertera dalam kitab karangannya “ayyuhaal-walad”.

Hakikatnya, dalam Islam telah nyata dan terserlah segala teorinya namun dari segi aplikasi, selalunya sarjana barat akan cuba melaksanakan dengan mencubanya melalui kajian-kajian ilmiah dan melakukan eksperimen yang lebih mendalam lalu setelah yakin dengan kesannya yang efektif lalu mereka mendabik dada mengatakan inilah teori baru. Realitinya, inilah punca kemunduran umat Islam dalam dunia globalisasi. Tidak ada yang kurang dan tidak ada cacat celanya agama Islam, tetapi sikap umatnya yang perlu diubah.
Sungguh benarlah firman Allah;“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubahnya...”



8.0 KESIMPULAN

Perkataan kanak-kanak dalam bahasa arabnya disebut sebagai al-tifl (١لطفل) yang berasal dari perkataan tafula (طفل) yang membawa maksud sesuatu yang lembut, mudah rosak dan sensitif. Di sebalik maksud tersebut ia memberi pengertian bahawa seseorang kanak-kanak itu perlu dijaga, diasuh dan dididik dengan rapi, teliti dan sempurna memandangkan sifat semulajadinya yang mudah terdedah kepada bahaya persekitaran bukan sahaja dibimbangi kerosakan yang akan menimpa fizikal dan tubuh badan malah aspek-aspek yang lain juga amat perlu diberikan perhatian. Oleh itu ibu bapa amat perlu memberi didikan syariat yang sempurna kepada anak-anak mereka seawal mungkin bermula dari dalam kandungan ibu lagi seperti kata pepatah “Melentur Buluh Biar Dari Rebungnya” agar anak-anak dapat hidup bahagia, berjaya dan membesar dalam keadaan sempurna tanpa terpengaruh dengan gejala-gejala negatif yang boleh merosakkan hidup mereka.

Imam Al-Ghazali pernah menyebut, “sesungguhnya anak-anak kita adalah permata”. Dalam membicarakan soal pendidikan anak-anak ini suatu perkara yang perlu kita fahami bahawa mendidik adalah suatu kesenian yang datangnya dari jiwa yang halus dan pemikiran yang kreatif. Suatu yang kreatif dan seni tidak akan lahir dari jiwa yang keras dan peribadi yang kasar dicetuskan oleh emosi marah dan hilang pertimbangan akal. Kasih sayang adalah elemen paling utama dalam proses mendidik. Teguran dan nasihat yang lahir dari cetusan kasih sayang akan mencairkan hati yang keras sebaliknya kekasaran dan penonjolan ammarah akan membekukan jiwa yang lembut.

Apatah lagi bila yang di hadapan kita itu adalah kanak-kanak yang putih bersih, yang akan belajar apa sahaja yang ada di persekitarannya melalui pemerhatian, yang akan meniru dari contoh yang ditonjolkan seterusnya mengaplikasikan hasil pembelajaran melalui kebiasaan.

Ini juga antara tajdid yang perlu dilakukan oleh umat Islam dalam mendidik anak-anak. Kembali dan rujuklah amalan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan cendikiawan Islam dalam membentuk dan mendidik generasi. Pendidikan anak-anak di peringkat awal usia yang berlandaskan pendekatan integratif seperti yang disarankan perlu dilaksanakan. Di dalam kitabnya Al Muqaddimah, Ibnu Khaldun mengingatkan para pendidik melalui seruannya:
“…Sesungguhnya kekerasan dalam mendidik memberikan kesan yang buruk kepada orang yang dididik lebih-lebih lagi bagi kanak-kanak. Barangsiapa yang ditarbiah dengan cara kekerasan dan paksaan, maka akan sempitlah pemikiran dan jiwanya lalu jadilah anak itu hilang kecerdasannya, malas, terbawa-bawa kepada berbohong dan berkelakuan jahat…”
9.0 PENUTUP



Hakikatnya samada di barat atau di timur, semua manusia mengharapkan anak mereka ke arah pembinaan syakhsiah mulia dan berkeperibadian tinggi serta berhemah dalam menghadapi arus globalisasi yang semakin mencabar.

Ibu bapa tidak boleh menyalahkan kerajaan, masyarakat dan sekolah semata-mata sebagai helah membela diri apabila anak menjadi jahat tabiatnya. Ibu bapa perlu menyalahkan diri sendiri kerana ini adalah langkah positif untuk menilai semula peranannya bagaimana untuk menjadi ibu bapa yang cemerlang.

Betapa beruntungnya kedua-dua ibu bapa yang mempunyai anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup mereka. Bukan sahaja hidup di dunia bahkan di akhirat juga. Doa daripada anak-anak yang soleh tetap tidak terputus kepada ibu dan bapa mereka sekalipun kedua-duanya telah meninggal dunia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali tiga perkara iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapanya”. (HR al-Bukhari)

Wallahua’lam





















Rujukan
________________________________________
1. KENAKALAN REMAJA DARI PERSPEKTIF ISLAM DAN BARAT, NOORZIHAN MOHAMED YIN, 26 JUNE 2004

2. HAZIZAH BINTI YUSOFF (BERITA MINGGU 12 FEB 2006)
3. IBU SEJATI-KELAHIRAN, PENJAGAAN & PENDIDIKAN ANAK CEMERLANG, ZANARIAH YAHYA, DARUL NU’MAN, 1998
4. AMALAN KETIKA MENGANDUNG & SETELAH BERSALIN, ABU AFIQAH, DARUL NU’MAN, 1994
5. ERTI ANAK BAGI SEORANG MUSLIM, SYAHMINAN ZAINI
6. KEPERIBADIAN MUSLIMAH, ABU BAKAR JABIR AL JAZA’IRI
7. SUAMI TELADAN, MOHD ISA SELAMAT
8. ASAS DIDIKAN AGAMA TIDAK CUKUP, USTAZ SYUKRI, MAJALAH WANITA, JANUARI 2004

1 comment:

  1. semoga halaman ini menjadi salah satu pahala yang dapat menjadi bekalan utk dihisab diakhirat kelak Insyaallah..aminn

    ReplyDelete